SIPITANG – Keadaan jasad seorang remaja perempuan yang masih utuh selepas tiga minggu dikebumikan mengundang rasa sebak dalam kalangan penduduk yang hadir menyaksikan proses penggalian semula kubur Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir, 13, di Tanah Perkuburan Islam Tanjung Ubi, Kampung Mesapol, di sini, pada Sabtu.
Imam Rawatib Masjid Haji Hashim, Amani Azral, yang turut berada di lokasi, menyifatkan keadaan jasad Allahyarhamah sebagai luar biasa.
“Wajahnya masih seperti semalam, masih,” katanya dalam satu rakaman video berdurasi satu minit 53 saat yang tular di media sosial.
Menurut individu yang merakam video tersebut, kenyataan imam itu turut disahkan oleh ibu Allahyarhamah, Noraidah Lamat, yang dipercayai berada di lokasi ketika proses penggalian berlangsung.
Proses penggalian semula kubur Zara Qairina bermula kira-kira jam 5.30 petang dan selesai sekitar jam 7.15 malam, melibatkan Unit Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta disaksikan oleh pasukan peguam keluarga, wakil Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS), dan pegawai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
Jenazah kemudian dibawa keluar menggunakan trak polis dan dihantar ke Hospital Queen Elizabeth I (HQEI), Kota Kinabalu untuk tujuan bedah siasat yang dijadualkan berlangsung pada pagi Ahad.
Peguam keluarga, Hamid Ismail, memaklumkan bahawa bedah siasat dijalankan atas arahan Jabatan Peguam Negara bagi menyiasat punca sebenar kematian Allahyarhamah.
Zara Qairina sebelum ini dilaporkan terjatuh dari tingkat tiga asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Papar, pada 16 Julai lalu dan disahkan meninggal dunia sehari selepas kejadian.
Allahyarhamah yang dikenali sebagai anak yang pendiam dan rajin mengaji, dikebumikan pada hari sama di tanah perkuburan tersebut.
Fenomena jasad yang masih utuh selepas dikebumikan sering dikaitkan dalam tradisi Islam sebagai tanda kemuliaan seseorang, khususnya mereka yang taat beragama. Namun, pakar forensik menjelaskan bahawa faktor persekitaran seperti jenis tanah, kelembapan dan kaedah pengebumian juga boleh mempengaruhi keadaan jasad.
Sementara itu, suasana di tanah perkuburan dilaporkan tenang dan penuh rasa hiba, dengan kehadiran ramai penduduk yang ingin menyaksikan sendiri proses tersebut.
Kisah Zara Qairina terus menjadi perhatian masyarakat, bukan sahaja kerana keajaiban jasadnya, tetapi juga sebagai simbol harapan agar kebenaran dapat ditegakkan demi keadilan buat keluarga yang masih meratapi pemergiannya.