Wednesday, 13, August, 2025
Utama Nasional PM singgah jumpa Amir Raja Lawak di Kota Bharu, serah sumbangan

PM singgah jumpa Amir Raja Lawak di Kota Bharu, serah sumbangan

oleh Ammar Haziq

KOTA BHARU: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meluangkan masa menyantuni pelawak terkenal, Mohammad Amirullah Azmi atau Amir Raja Lawak, di premis perniagaannya berhampiran Stadium Sultan Muhammad IV, di sini.

Beliau yang diiringi Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud, berada kira-kira setengah jam di lokasi tersebut untuk beramah mesra dengan Amir yang berusia 36 tahun.

Dalam pertemuan itu, Anwar turut bertanyakan mengenai keadaan ayah Amir yang sedang menerima rawatan kanser usus di Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian.
Perdana Menteri dan Mohd Nassuruddin turut menyampaikan sumbangan wang tunai kepada pelawak berkenaan.

Kunjungan tersebut dibuat susulan hantaran di laman Facebook Amir semalam yang menyatakan hasratnya untuk bertemu pemimpin nombor satu negara itu.
Amir melahirkan rasa syukur dan terharu kerana tidak menyangka hajatnya akan menjadi kenyataan.

“Saya hanya membuat hantaran di Facebook kerana tahu Perdana Menteri akan hadir merasmikan majlis penutup PMR (Program MADANI Rakyat) berdekatan kedai.


Saya bertanya siapa yang menguruskan kehadiran beliau dan tidak sangka Perdana Menteri sendiri tahu tentang masalah saya,” katanya.

Beliau berkata, Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Farhan Fauzi, memaklumkan kepadanya semalam bahawa Anwar akan singgah ke kedainya.


“Syukur dan terkejut, saya sangka Perdana Menteri sahaja yang akan hadir tetapi ramai pemimpin besar yang hadir,” katanya.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com