Wednesday, 13, August, 2025
Utama Nasional Kempen Gerakan Bersama Malaysiaku meriahkan PMR 2025 Kelantan

Kempen Gerakan Bersama Malaysiaku meriahkan PMR 2025 Kelantan

oleh Ammar Haziq

KOTA BHARU: Program MADANI Rakyat (PMR) 2025 Kelantan di pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV di sini dimeriahkan dengan pelancaran kempen Gerakan Bersama Malaysiaku yang mengajak rakyat berkongsi gambar dan kisah peribadi sebagai tanda sokongan terhadap semangat kebersamaan serta cintakan negara.

Ketua Komunikasi Korporat Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU), Sapian Mamat berkata, penyertaan boleh dibuat secara dalam talian melalui laman rasmi kempen yang diakses menggunakan pautan atau kod QR yang dikongsi penganjur.

Katanya, setiap peserta diminta memuat naik gambar, maklumat ringkas dan kapsyen yang menggambarkan latar belakang serta pengalaman hidup mereka.

“Data yang dihimpunkan akan menjadi koleksi wajah rakyat Malaysia sempena sambutan Hari Malaysia. Beberapa gambar dan kapsyen terpilih akan dipaparkan kepada umum pada 16 September, dengan pengumuman rasmi dijangka dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya kepada Bernama pada Sabtu.

Menurutnya, paparan turut boleh diakses melalui laman sesawang malaysiamadani.gov.my.

Sapian berkata, kempen ini bukan sekadar aktiviti visual tetapi seruan untuk rakyat menzahirkan rasa sayang kepada negara melalui cerita masing-masing.

“Jika kita sayang Malaysia, kita turut serta. Di peringkat negeri, kami sediakan lima unit photobox di lokasi PMR 2025 Kelantan sebagai tarikan visual dan pusat maklumat,” katanya.

Beliau berkata, walaupun peserta boleh mengambil gambar di tempat kerja, sekolah atau lokasi harian, photobox itu menjadi ruang interaktif yang memudahkan pengunjung menyertai kempen.

Katanya, kehadiran di PMR 2025 Kelantan bukan syarat penyertaan, namun ia memberi peluang rakyat negeri itu memahami gerakan ini dengan lebih dekat menerusi penerangan di reruai PACU.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com