KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menegaskan Kerajaan MADANI akan terus memastikan suara, hak dan peluang masyarakat Orang Asal sentiasa terpelihara.
Beliau berkata, langkah itu penting bagi memastikan komuniti tersebut kekal menjadi tunjang budaya, penjaga khazanah alam dan rakan kongsi dalam pembangunan negara.
“Hari Orang Asal Sedunia yang diraikan hari ini mengingatkan kita bahawa kekuatan sebenar sesebuah negara, khususnya Malaysia, terletak pada kepelbagaian dan warisan yang kita pelihara bersama.
Kerajaan MADANI teguh beriltizam bagi memastikan suara, hak dan peluang untuk Orang Asal akan terus terjamin,” katanya dalam catatan di Facebook.
Hari Orang Asal Sedunia 2025 bertemakan Pertahankan Bumi, Pulihkan Tanah, Hijauan Semula Masa Depan – Melalui Kearifan Orang Asal disambut setiap tahun sebagai penghormatan kepada identiti, budaya, sumbangan dan hak komuniti itu.
Perdana Menteri berkata, Orang Asal adalah sebahagian penting daripada kepelbagaian bangsa dan budaya Malaysia yang perlu sentiasa dihargai dan dipelihara demi kelestarian negara.