Wednesday, 13, August, 2025
Utama Nasional “Zara seperti anak kita semua, berjuang sehingga keadilan ditegakkan” – Nurul Izzah

“Zara seperti anak kita semua, berjuang sehingga keadilan ditegakkan” – Nurul Izzah

oleh Ammar Haziq

KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar menegaskan bahawa perjuangan untuk mendapatkan keadilan bagi Allahyarham Zara Qairina Mahathir tidak akan terhenti sehingga pihak yang bertanggungjawab menerima hukuman setimpal.

Beliau berkata, pemergian tragis pelajar Tingkatan Satu itu menyentuh hati rakyat di seluruh negara dan menjadi simbol kesedaran bahawa setiap anak berhak membesar dalam persekitaran yang selamat dan bebas daripada ancaman.

“Zara seperti anak kita semua. Pemergiannya menggerakkan kita untuk terus bersatu, cakna dan melindungi generasi akan datang daripada bahaya,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Allahyarham Zara Qairina, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha Limauan, Sabah, ditemui tidak sedarkan diri berhampiran longkang asrama sekolah pada jam 3 pagi, 16 Julai lalu sebelum disahkan meninggal dunia keesokan harinya.

Kes tersebut mencetuskan kebimbangan awam dan mengundang pelbagai reaksi daripada masyarakat serta pemimpin negara.

“Kita akan terus mengikuti dan memantau rapat setiap perkembangan kes ini kerana setiap anak berhak untuk membesar dalam suasana yang selamat, bebas daripada ketakutan dan ancaman,” tegas Nurul Izzah.

Dalam perkembangan berkaitan, Nurul Izzah turut berkongsi bahawa beliau berpeluang bertemu ibu Allahyarham Zara di Kota Kinabalu, Sabah, bagi menyampaikan ucapan takziah secara bersemuka.

“Dua minggu lalu saya terbang ke Kota Kinabalu dari Kuala Lumpur untuk bertemu ibu Zara. Namun ketika itu, beliau masih belum bersedia untuk berjumpa. Saya tidak memaksa, dan syukur hari ini saya diberi ruang untuk menyampaikan takziah secara bersemuka,” katanya.

Beliau turut meluahkan rasa simpati sebagai seorang ibu yang memahami kesedihan mendalam yang ditanggung oleh keluarga mangsa.

“Tiada ibu yang tidak bersedih melihat anaknya pergi tak kembali. Ibu Zara hanya mahu melihat anaknya membesar seperti biasa, sihat dan ceria,” katanya.

Nurul Izzah turut mengajak orang ramai untuk terus berdoa dan bertawakal agar keadilan serta kebenaran ditegakkan, dan roh Allahyarham Zara Qairina ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman.

“Ini adalah tanggungjawab kita bersama untuk terus cakna, melindungi dan memastikan tragedi seperti ini tidak berulang lagi,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa pemergian Zara bukan sekadar kehilangan seorang anak, tetapi satu panggilan kepada seluruh masyarakat untuk memperkukuh perlindungan terhadap kanak-kanak dan remaja di negara ini.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com