KUALA LUMPUR: Malaysia komited membangunkan ekosistem kecerdasan buatan (AI) yang inklusif, beretika dan selaras dengan nilai bersama menerusi lima tonggak utama di bawah Kerangka AI Negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata lima tonggak itu merangkumi dasar berpandangan jauh, tenaga kerja tangkas dan celik digital, infrastruktur digital selamat, kemajuan kepercayaan digital serta pelaburan strategik yang menggalakkan kerjasama awam–swasta dan kolaborasi global.
“Tonggak ini akan memacu Ekonomi MADANI, menjadikan AI sebagai teknologi yang maju, inklusif, dipercayai dan dibangunkan untuk tujuan yang jelas,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Sidang Kemuncak ASEAN AI Malaysia 2025 (AAIMS2025) di sini.
Anwar menegaskan aspirasi Malaysia adalah menjadi negara AI yang dimanfaatkan untuk semua lapisan masyarakat, bukan hanya segelintir pihak.
Beliau berkata, teknologi itu perlu menjadi pemacu tadbir urus yang lebih baik, mencetuskan inovasi serta meningkatkan taraf hidup rakyat di seluruh pelosok negara, seiring transformasi digital yang menjadi teras pertumbuhan mampan dan inklusif dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
Mengulas cabaran, beliau berkata jurang digital antara masyarakat bandar dan luar bandar, termasuk pelajar institusi agama tradisional, perlu diatasi bagi memastikan manfaat transformasi digital dinikmati semua.
“Kegagalan menanganinya akan mewujudkan jurang ketara antara mereka yang menguasai disiplin baharu dan mereka yang langsung tidak mengetahuinya, sekali gus tidak mampu meningkatkan taraf hidup atau kekal relevan,” katanya.
Menurutnya, isu ini bukan sekadar membezakan kaya dan miskin, tetapi juga antara kelompok yang mahir teknologi dan yang tidak mempunyai akses langsung kepada teknologi.
Beralih kepada peranan ASEAN, Anwar berkata rantau ini yang mempunyai lebih 700 juta penduduk, ekonomi digital pesat serta kepelbagaian budaya dan bahasa luar biasa, berada pada kedudukan unik untuk membangunkan AI secara inklusif dan beretika.
Katanya, jika peluang ini diambil dengan pandangan jauh dan keberanian, AI mampu merapatkan jurang pembangunan, memperkasa perusahaan kecil, memajukan komuniti luar bandar, mengukuhkan perkhidmatan awam serta memperluas akses kepada kesihatan, pendidikan dan keadilan.
“Oleh itu, kita mesti berani dan berprinsip. Visi kita ialah memanfaatkan AI bukan sekadar mengejar negara lain, tetapi memimpin dengan model inovasi berlandaskan kepercayaan, kesaksamaan dan dibentuk dengan nilai Asia Tenggara.
“Ukuran sebenar kejayaan AI bukan pada kecanggihan teknologinya, tetapi keupayaannya meningkatkan taraf hidup rakyat secara mampan, inklusif dan adil,” katanya.
Pada majlis itu, Perdana Menteri turut melancarkan model bahasa skala besar atau large language model (LLM) 100 peratus buatan tempatan dikenali sebagai ILMU.
ILMU dibangunkan sepenuhnya oleh rakyat Malaysia sebagai model bahasa multimodal dengan latihan berasaskan konteks dan budaya tempatan.