Saturday, 16, August, 2025
Utama Nasional MEV pengiktirafan sumbangan pekerja Bangladesh

MEV pengiktirafan sumbangan pekerja Bangladesh

oleh Ammar Haziq

PUTRAJAYA: Kemudahan Visa Masuk Berganda atau Multiple Entry Visa (MEV) untuk pekerja warga Bangladesh dilihat sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan mereka dalam pembangunan ekonomi negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata Bangladesh adalah rakan penting memandangkan pekerja negara itu memainkan peranan besar membantu kemajuan Malaysia.

“Pekerja Bangladesh telah bersama-sama menyumbang kepada pembangunan kita. Sebab itu Menteri Dalam Negeri dan Menteri Sumber Manusia bersetuju memperkenalkan MEV ini khusus untuk membantu mereka pulang bertemu keluarga dan berasa lebih terjamin dalam pekerjaan.

“Bangladesh juga mengemukakan cadangan termasuk memberi keutamaan membantu pekerja yang terkandas,” katanya pada sidang media bersama Ketua Penasihat Bangladesh, Prof Muhammad Yunus, di sini.

MEV yang mula dilaksanakan pada 8 Ogos lalu membolehkan pemegang Pas Lawatan Pekerjaan Sementara (PLKS) pulang bertemu keluarga tanpa perlu memohon visa baharu, sekali gus memudahkan perjalanan dan meningkatkan jaminan pekerjaan.

Anwar turut memaklumkan Malaysia dan Bangladesh akan memperkukuh kerjasama sedia ada dalam sektor tenaga melalui Petronas, telekomunikasi melalui Axiata, serta memperluasnya ke bidang halal, STEM, penyelidikan dan semikonduktor.

Sementara itu, Muhammad Yunus menzahirkan penghargaan kepada Malaysia atas layanan baik terhadap pekerja Bangladesh yang disifatkan sebagai sebahagian daripada keluarga, bukan sekadar tenaga kerja asing.

“Ramai pekerja kami di sini menghantar pendapatan pulang untuk menyara keluarga, menghantar anak ke sekolah dan memastikan pendidikan yang baik.

“Mereka gembira bekerja di sini, malah menganggap Malaysia sebagai rumah kedua,” katanya.

Beliau berharap peluang pekerjaan di Malaysia kekal terbuka dan semakin luas untuk generasi muda Bangladesh pada masa hadapan.

“Mereka bukan sahaja bekerja, tetapi turut mempelajari banyak perkara untuk dibawa pulang, memulakan perniagaan sendiri dan membangunkan aktiviti ekonomi di negara kami. Kami amat berterima kasih kepada Malaysia,” ujarnya.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com