KUALA LUMPUR: Cadangan memisahkan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya akan dibawa ke Jemaah Menteri pada penghujung bulan ini sebagai sebahagian agenda reformasi undang-undang Kerajaan MADANI.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah tersebut sudah lama dibangkitkan dan kini berada pada fasa penting pelaksanaan. Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) dijadual membentangkan perkara itu kepada Kabinet dalam masa terdekat.
“Pemisahan ini memang dituntut sejak lama. Pembentangan di Jemaah Menteri pada hujung bulan ini menunjukkan kemajuan yang menggalakkan,” katanya pada Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat.
Beliau menjawab soalan Datuk Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) berhubung senarai undang-undang lapuk yang akan dipinda atau dimansuhkan agar selaras dengan semangat reformasi serta garis masa pelaksanaannya.
Menurut Anwar, sejak dua tahun setengah mentadbir, Kerajaan MADANI telah melaksanakan 23 reformasi undang-undang, termasuk dua pindaan Perlembagaan berkaitan warganegara dan pengenalan Akta Perkhidmatan Parlimen 2025.
Antara langkah lain ialah pindaan Akta Keterangan Saksi Kanak-kanak, penggubalan Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023, pemansuhan hukuman mati mandatori, pengenalan Rang Undang-Undang (RUU) Ombudsman 2025 serta RUU Jenayah Siber 2025.
“Ini adalah rekod dua setengah tahun pentadbiran yang belum dapat ditandingi, termasuk oleh kerajaan sebelum ini,” katanya.
Beliau memaklumkan pada 2023, lima akta baharu dan 34 pindaan diluluskan, diikuti lima akta baharu serta 57 pindaan pada 2024. Bagi 2025 sehingga kini, empat akta baharu, enam pindaan, dua RUU baharu dan 11 pindaan RUU telah dibentangkan.
Sementara itu, mengulas isu undang-undang antilompat parti, Anwar menegaskan beliau terbuka untuk melengkapkan peruntukan perundangan berkenaan.
Katanya, cadangan tersebut pernah dikemukakan ketika beliau menjadi Ketua Pembangkang, namun tidak dimasukkan dalam Akta Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022 yang menghalang Ahli Dewan Rakyat bertukar parti.
“Walaupun ada cadangan baharu, tidak mengapa. Tetapi jangan lupa, yang menghalang dulu itu pihak sebelah sana,” katanya merujuk kepada pembangkang ketika itu.