PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan tindakan tegas perlu diambil terhadap mana-mana pihak yang mengambil kesempatan memainkan isu kematian pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir dan Jalur Gemilang bagi menghangatkan suasana politik negara.
Beliau berkata, semua agensi penguat kuasa sudah diarahkan untuk bertindak tanpa memilih kedudukan atau status, sama ada melibatkan tokoh terkenal, ahli politik mahupun rakyat biasa.
“Tindakan tegas mesti diambil. Kalau ada rakan-rakan yang diberi amanah tetapi tidak bersedia, beritahu saya. Kita akan ganti dengan mereka yang berprinsip tegas.
“Ini bukan soal populariti atau siapa lebih menonjol di mata rakyat. Ini soal menyelamatkan negara daripada perpecahan,” katanya ketika berucap pada Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam Ke-20 (MAPPA XX) di sini.
Anwar mengingatkan pengalaman lalu mengenai bibit perpecahan dan tragedi rusuhan kaum yang bermula daripada isu kecil seperti berita palsu, kini boleh berulang sekiranya isu bendera atau sentimen perkauman tidak ditangani.
Mengulas lanjut, beliau menegaskan unsur yang boleh mencetuskan ketegangan kaum, agama dan budaya buli mesti ditangani segera kerana ia mampu melemahkan sendi negara.
“Mutakhir ini kita berdepan dengan isu negatif yang membangkitkan ketegangan kaum dan agama, budaya buli di sekolah, pejabat, hospital, malah kes kematian yang melibatkan pelajar. Semua ini amat membimbangkan.
“Harus ada kesepakatan, bukan sahaja dalam kalangan agensi penguat kuasa seperti PDRM, tetapi juga seluruh rakyat dan warga pendidik untuk menolak amalan yang merosakkan,” katanya.
Anwar yang juga Menteri Kewangan menegaskan, demokrasi adalah tonggak negara dan ia perlu dipertahankan daripada sikap melampau, keangkuhan serta kebiadaban.
“Perbuatan membuli, menghina martabat seseorang atas dasar kaum, keturunan atau warna kulit mesti dihentikan dengan segala kekuatan,” tegasnya.