Thursday, 21, August, 2025
Utama Nasional Cadangan Akta Anti Buli dibawa ke Kabinet – PM

Cadangan Akta Anti Buli dibawa ke Kabinet – PM

oleh Ammar Haziq

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan cadangan bagi mengkaji keperluan menggubal Akta Anti Buli dengan menggunakan sistem tribunal khusus untuk kes membabitkan pelajar dan kanak-kanak akan dibentangkan dalam mesyuarat Kabinet.

Beliau berkata demikian ketika ditanya media mengenai cadangan berkenaan yang dikemukakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.

“Cadangan itu, dia (Azalina) akan bawa bincang ke mesyuarat Kabinet,” katanya selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Warga Kementerian Kewangan di sini.

Semalam, Azalina menjelaskan bahawa Malaysia masih belum mempunyai undang-undang khusus untuk kes buli, sebaliknya bergantung pada Kanun Keseksaan serta beberapa peruntukan lain.

Katanya, perkara itu menimbulkan kebimbangan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) memandangkan pelaku dan mangsa kes buli sering kali terdiri daripada kanak-kanak.

“Dalam kes membabitkan pelajar sekolah, sistem tribunal lebih sesuai digunakan bagi membicarakan kes buli, sama seperti mekanisme di bawah Akta Antigangguan Seksual,” katanya.

Azalina turut memaklumkan pihaknya akan meneliti undang-undang di negara lain yang mempunyai pendekatan tersendiri dalam menangani isu buli.

Cadangan itu timbul susulan kes kematian Zara Qairina Mahathir, pelajar sebuah sekolah menengah di Papar, Sabah, yang didakwa menjadi mangsa buli sehingga mencetus gelombang sokongan awam menerusi kempen ‘Justice for Zara’.

Media melaporkn lima remaja perempuan bawah umur dihadapkan ke mahkamah atas pertuduhan berkait kes buli yang dikaitkan dengan kematian Zara Qairina.

Menurut kenyataan Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar, mereka akan dituduh atas kesalahan mengugut dengan mengeluarkan kata-kata bersifat mengancam mengikut Seksyen 507C(1) Kanun Keseksaan.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com