Thursday, 21, August, 2025
Utama Tech PM bangga kepakaran tempatan jayakan LRA Langat 2

PM bangga kepakaran tempatan jayakan LRA Langat 2

oleh Ammar Haziq

HULU LANGAT: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kemampuan tenaga pakar tempatan mengendalikan projek mega bertaraf tinggi membuktikan Malaysia berupaya berdiri setanding negara maju dalam bidang teknologi, pengurusan dan penyelenggaraan fasiliti berskala besar.

Beliau berkata, kejayaan membangunkan serta mengoperasikan Loji Rawatan Air (LRA) Langat 2 adalah bukti nyata hasil usaha anak tempatan yang cekap menguasai teknologi moden selepas melalui latihan dan peningkatan kemahiran berterusan.

“Projek mega dengan teknologi canggih seperti ini hanya mampu direalisasikan dengan tenaga profesional yang benar-benar mahir. Kejayaan ini menjadi titik permulaan yang membanggakan untuk negara,” katanya ketika merasmikan loji berkenaan, semalam.

Menurutnya, kerajaan melalui Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) akan memberi fokus kepada usaha memperkukuh ekonomi negara dengan menambah daya saing domestik dan menarik lebih banyak pelaburan asing, terutama di Selangor.

Beliau menekankan bahawa air dan tenaga merupakan prasyarat utama untuk memastikan keyakinan pelabur dalam sektor berteknologi tinggi, termasuk industri semikonduktor.

“Sebesar mana pun pelaburan yang mahu ditarik masuk, kita perlu pastikan pengurusan telus dan bertanggungjawab. Jika lemah dan dipalit penyelewengan, ia akan meruntuhkan keyakinan pelabur. Air dan tenaga adalah asas paling penting untuk menjamin kelangsungan ekonomi,” katanya.

LRA Langat 2 bernilai RM4.2 bilion itu dibangunkan oleh Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) dengan kapasiti pengeluaran 1,130 juta liter sehari (JLH).

Ia menerima bekalan air mentah dari Empangan Kelau, Pahang, yang dialirkan melalui Muka Sauk Sungai Semantan sebelum disalurkan ke Hulu Langat menerusi terowong sepanjang 44.6 kilometer dengan diameter 5.2 meter yang menembusi Banjaran Titiwangsa.

Kemudahan itu bakal meningkatkan kapasiti bekalan air terawat bagi menampung keperluan penduduk di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com