Saturday, 23, August, 2025
Utama Negeri Solidariti di Puncak Bukit Telipong: rakyat suarakan Justice for Zara

Solidariti di Puncak Bukit Telipong: rakyat suarakan Justice for Zara

oleh Ammar Haziq

CHANGLUN – Kira-kira 300 orang menyertai Program Merdeka di Puncak Bukit Telipong di sini pada Ahad lalu, sebagai tanda solidariti terhadap keluarga Allahyarham adik Zara Qairina Mahathir, pelajar Tingkatan Satu yang meninggal dunia dalam insiden tragis di sebuah sekolah agama berasrama penuh di Sabah, bulan lalu.

Program anjuran Pertubuhan Kebajikan Muafakat Perlis dengan kerjasama beberapa badan bukan kerajaan (NGO) itu bukan sekadar sambutan kemerdekaan, malah menjadi medan suara rakyat menuntut keadilan buat arwah dan keluarganya.

Setiausaha pertubuhan tersebut, Abd Agfarnizar Abdul Wahab berkata, pihaknya terpanggil untuk menyuarakan keprihatinan terhadap nasib yang menimpa Zara dan menyeru agar siasatan dijalankan secara telus dan segera.

“Justice for Zara adalah tuntutan hati nurani kita semua. Arwah bukan lagi di sini untuk membela diri, maka tanggungjawab itu kini di bahu kita — masyarakat, pemimpin, pendidik dan pihak berkuasa,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau turut menegaskan bahawa keadilan tidak boleh ditangguhkan kerana ia melibatkan maruah dan nyawa seorang anak yang sepatutnya dilindungi.

“Jika kita biarkan kes ini tenggelam dalam masa dan alasan, kita sedang mengajar generasi bahawa nyawa dan maruah boleh dipermainkan. Keadilan yang tertangguh adalah keadilan yang dinafikan,” ujarnya.

Program tersebut turut disertai oleh pelbagai lapisan masyarakat termasuk aktivis, pendidik, pelajar dan ibu bapa yang hadir bukan sahaja untuk menyambut bulan kemerdekaan, tetapi juga menyatakan sokongan terhadap perjuangan menuntut keadilan.

Suasana di puncak bukit bertukar hening apabila peserta menyampaikan doa dan harapan agar kes Zara disiasat dengan adil serta pihak yang bertanggungjawab diadili tanpa pilih kasih.

Abd Agfarnizar turut menyeru agar spekulasi dihentikan dan memberi ruang kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan secara profesional.

“Hari ini kita bersuara untuk Zara, esok kita mungkin bersuara untuk anak kita sendiri,” katanya mengakhiri kenyataan.

Program tersebut menjadi simbolik bahawa semangat kemerdekaan bukan sekadar perayaan, tetapi juga perjuangan menuntut keadilan dan melindungi hak anak-anak Malaysia.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com