KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegur sikap pembangkang yang menurutnya sering membuat tuduhan tanpa asas, seolah-olah kerajaan tidak melakukan apa-apa sepanjang tiga tahun pentadbiran.
Beliau berkata, adalah tidak adil menafikan segala usaha yang telah dijalankan hanya kerana perbezaan politik, apatah lagi apabila ia disandarkan kepada hujah agama tanpa fakta yang sahih.
“Kalau ada pandangan bahawa pencapaian kerajaan belum mencukupi, saya boleh terima. Kalau dikatakan ada kelemahan dalam beberapa dasar, juga boleh dibahas. Tetapi untuk menuduh seolah-olah tiada langsung usaha kerajaan, itu satu kepalsuan. Menggunakan ayat al-Quran untuk menguatkan dakwaan politik semata-mata juga tidak wajar,” katanya ketika membentangkan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Dewan Negara.
Anwar kemudian menghuraikan beberapa pencapaian utama pentadbiran, antaranya dalam sektor pendidikan apabila kerajaan telah menyiapkan 102 sekolah baharu serta menaik taraf 1,177 sekolah daif dengan kos RM12.5 bilion sehingga Jun lalu. Daripada jumlah itu, 749 projek siap dilaksanakan, manakala selebihnya sedang dalam pembinaan.
Bagi tempoh RMK13, kerajaan merancang memperuntukkan sekurang-kurangnya RM67 bilion untuk pendidikan, termasuk pembinaan prasekolah, tadika KEMAS, sekolah khas, serta institusi pengajian tinggi awam.
Dalam aspek perumahan, beliau menjelaskan lebih 180,000 unit rumah telah disiapkan sehingga tahun ini, manakala 235,000 lagi sedang dalam pembinaan. Kerajaan juga mensasarkan sejuta unit rumah mampu milik akan diwujudkan antara 2026 hingga 2035.
Selain itu, Perdana Menteri berkata, projek tebatan banjir turut menjadi tumpuan dengan lebih RM20 bilion diperuntukkan bagi 103 projek, termasuk di Sungai Langat, Sungai Buloh, Sungai Golok, Sungai Gemencheh, Sungai Baru, serta Lembangan Sungai Johor dan Muar. Sabah dan Sarawak turut mendapat manfaat melalui projek Sungai Moyog dan RTB Bandaraya Kuching.
Menepis dakwaan kononnya kerajaan mengabaikan negeri pembangkang, Anwar turut mendedahkan jumlah peruntukan yang disalurkan tahun ini. Kedah menerima RM2.13 bilion, Kelantan RM3.12 bilion, Terengganu RM1.84 bilion, manakala Perlis RM610 juta.
“Ini bukti jelas kerajaan MADANI tidak menindas negeri yang diperintah pembangkang. Malah, angka yang kita salurkan lebih tinggi berbanding tahun sebelumnya. Misalnya, kos tebatan banjir di Kelantan sahaja mencecah RM3.12 bilion,” katanya.