Friday, 24, October, 2025
Utama Nasional PM ingatkan generasi muda hargai kemerdekaan, jangan ulangi kesilapan lalu

PM ingatkan generasi muda hargai kemerdekaan, jangan ulangi kesilapan lalu

oleh Ammar Haziq

SERDANG: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa kemerdekaan dan kedaulatan yang dikecapi hari ini adalah hasil keberanian menolak kerakusan kuasa asing yang mahu merampas hasil bumi serta menindas rakyat.

Beliau berkata, generasi muda perlu memahami bahawa kebebasan yang dinikmati bukan diperoleh dengan mudah, sebaliknya lahir daripada perjuangan panjang serta pengorbanan yang tidak ternilai.

“Terlalu banyak darah, air mata, harta benda dan keringat dicurahkan demi mencapai kemerdekaan. Anak-anak muda harus belajar, meneliti dan menghayati bahawa apa yang kita kecapi kini dibayar dengan harga yang mahal.

“Sebab itu, jagalah negara ini sebuah tanah air yang unik, bertahan dengan kepelbagaian kaum dan agama, keamanan, kekuatan ekonomi, semangat perpaduan serta keindahan budaya,” katanya ketika menyampaikan Amanat Hari Kebangsaan 2025 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), di sini.

Menurut Anwar, sejarah membuktikan bahawa bangsa ini pernah hampir kehilangan keyakinan terhadap kemampuan sendiri akibat pengkhianatan serta keangkuhan penjajah yang merampas kekayaan negeri dan memperbodohkan rakyat.

“Jangan sekali-kali kita ulangi kesilapan dengan terlalu mengagungkan kuasa asing sehingga menafikan keupayaan bangsa sendiri. Malaysia mesti terus berdiri dengan semangat jati diri yang teguh,” tegasnya.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com