PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan Rang Undang-Undang (RUU) Pekerja Gig yang diluluskan Parlimen baru-baru ini sebagai hadiah khusus buat seluruh anak muda yang berkecimpung dalam industri penghantaran makanan, pemandu e-hailing serta keluarga besar pekerja gig di negara ini.
Menurut beliau, penggubalan RUU itu memberi takrifan lebih jelas terhadap profesion berkenaan, selain mengiktiraf sumbangan mereka kepada ekonomi negara.
“RUU ini memberi pengiktirafan, jaringan sosial yang lebih kukuh serta masa depan yang jelas kepada pekerja gig.
“Saya tahu ada pihak yang curiga dan mendakwa kerajaan lambat, tetapi kita perlu cermat kerana undang-undang ini memberi kesan langsung kepada jutaan rakyat,” katanya dalam hantaran di media sosialnya.
Anwar menegaskan, sempena bulan kemerdekaan ini, kerajaan mahu memastikan setiap titik peluh dan usaha pekerja gig dihargai serta dipandang bermaruah.
“Peranan kalian sangat besar dalam pengukuhan ekonomi rakyat dan negara,” katanya.
RUU Pekerja Gig itu diluluskan selepas perbahasan panjang di Dewan Rakyat dan dijangka membuka lembaran baharu kepada jutaan individu yang bergantung kepada industri tersebut sebagai sumber rezeki utama.