Tuesday, 2, September, 2025
Utama Ekonomi 850,000 rakyat Malaysia guna SARA RM100 pada Ahad

850,000 rakyat Malaysia guna SARA RM100 pada Ahad

oleh Ammar Haziq

KUALA LUMPUR – Seramai 850,000 rakyat Malaysia telah menggunakan bantuan tunai RM100 di bawah program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) pada hari pertama pelaksanaannya pada Ahad.

Menurut kenyataan Kementerian Kewangan (MOF), jumlah perbelanjaan yang direkodkan setakat jam 9.30 malam mencecah lebih RM50 juta, sekali gus menunjukkan sambutan luar jangka terhadap inisiatif kerajaan itu.

“Berikutan jumlah penggunaan yang terlalu tinggi, sistem terminal pembayaran melalui rangkaian MyKasih mengalami penurunan prestasi ketara di beberapa lokasi,” kata MOF.

Bagaimanapun, kementerian menjelaskan bahawa walaupun sistem beroperasi dengan lebih perlahan, semua transaksi tetap diterima dan diproses seperti biasa.

Bantuan SARA berjumlah RM100 secara sekali beri melalui MyKad mula disalurkan pada Ahad dan boleh digunakan sehingga 31 Disember 2025 di lebih 4,100 rakan niaga berdaftar di seluruh negara, termasuk menerusi program Jualan Rahmah.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ketika mengumumkan bantuan itu pada 23 Julai lalu berkata, pemberian khas sempena Hari Kebangsaan 2025 bertujuan meringankan beban sara hidup rakyat, selain tanda penghargaan kerajaan kepada seluruh warganegara.

“Bantuan ini diberikan secara individu dan bukan isi rumah. Contohnya, jika dalam satu keluarga terdiri daripada suami, isteri dan dua anak dewasa, mereka akan menerima RM400 secara keseluruhan,” katanya.

Pemberian ini dijangka memberi manfaat kepada 22 juta rakyat dewasa dengan peruntukan berjumlah RM2 bilion. Jumlah keseluruhan peruntukan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan SARA tahun ini turut meningkat daripada RM13 bilion kepada RM15 bilion, menjadikannya yang terbesar dalam sejarah program bantuan tunai negara.

Bantuan boleh dibelanjakan bagi membeli barangan asas daripada 14 kategori produk terpilih di rangkaian pasar raya utama seperti Mydin, Lotus’s, Econsave, 99 Speedmart serta kedai runcit di seluruh daerah.

Anwar yang juga Menteri Kewangan menegaskan, meskipun kadar inflasi keseluruhan pada Jun lalu berada pada paras terendah dalam tempoh 52 bulan iaitu 1.1 peratus, kenaikan harga makanan dan minuman masih memberi tekanan kepada isi rumah.

“Kerajaan berhasrat supaya jumlah bantuan yang tidak digunakan menjelang akhir tahun diagihkan semula pada 2026 bagi program bantuan golongan rentan,” katanya.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com