Tuesday, 2, September, 2025
Utama Nasional Anwar mulakan lawatan rasmi ke China, disambut istiadat permaidani merah di Tianjin

Anwar mulakan lawatan rasmi ke China, disambut istiadat permaidani merah di Tianjin

oleh Ammar Haziq

TIANJIN (China): Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Tianjin petang Ahad untuk memulakan lawatan kerja empat hari ke China selepas menghadiri sambutan Hari Kebangsaan 2025 di Dataran Putrajaya pada sebelah pagi.

Pesawat khas yang membawa Anwar dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Tianjin Binhai pada jam 5.27 petang sebelum menerima sambutan istiadat permaidani merah dan kawalan kehormatan melibatkan 36 anggota.

Lawatan rasmi ini memperkukuh hubungan erat Malaysia-China yang telah terjalin sejak hubungan diplomatik diwujudkan pada 31 Mei 1974. Pada November 2022, Anwar turut mengadakan lawatan rasmi pertamanya ke Beijing selepas dilantik sebagai Perdana Menteri.

China terus menjadi rakan dagangan terbesar Malaysia selama 16 tahun berturut-turut sejak 2009, dengan nilai perdagangan dua hala mencecah RM484.12 bilion pada 2024, iaitu 16.8 peratus daripada jumlah perdagangan global Malaysia sebanyak RM2.879 trilion.

Delegasi Perdana Menteri kali ini turut disertai Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Menteri Pengangkutan, Anthony Loke; dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com