PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melahirkan rasa puas hati dengan kejayaan penganjuran Sambutan Hari Kebangsaan 2025 yang berlangsung penuh meriah di Dataran Putrajaya pada Ahad.
Anwar yang hadir bersama isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, dilihat memberikan isyarat thumbs up sebagai tanda penghargaan kepada semua pihak yang menjayakan acara bersejarah itu.
Sejurus selepas keberangkatan pulang Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah, Anwar sempat meluangkan kira-kira lima minit untuk bertemu para peserta perbarisan serta orang ramai yang masih setia berada di lokasi walaupun acara telah berakhir.
Ketika berada di pentas persembahan human graphic, Perdana Menteri turut merakamkan penghargaan kepada lebih 2,000 pelajar yang terlibat menjayakan persembahan berkenaan, selain semua pasukan keselamatan termasuk Angkatan Tentera Darat dan Tentera Udara Diraja Malaysia serta penyertaan 116 ekor haiwan.
Sambutan kali ini mencatat kehadiran lebih 100,000 pengunjung yang membanjiri Dataran Putrajaya sejak malam tadi, sekali gus menzahirkan semangat patriotisme rakyat yang kental.
Dalam satu hantaran di Facebook, Anwar menegaskan beliau amat tersentuh dengan pelbagai persembahan yang dipersembahkan, bukan sahaja memukau tetapi turut menzahirkan nilai perpaduan, kekitaan dan kecintaan terhadap tanah air.
“Semoga semangat perpaduan ini terus dipelihara dan diperkuat demi masa depan Malaysia yang harmoni, sejahtera dan berdaya saing,” katanya.
Anwar menegaskan, Malaysia hanya akan terus mara ke hadapan sekiranya rakyat melangkah bersama sebagai sebuah keluarga besar yang menghargai perbezaan dan meraikan persamaan.