KUALA LUMPUR: Permodalan Nasional Bhd (PNB) disaran mengekalkan kepentingan nasional dan agenda Bumiputera sebagai keutamaan utama ketika melaksanakan semakan strategik terhadap pelaburannya dalam kumpulan Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (Prolintas).
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menegaskan PNB sebagai institusi amanah yang menjaga kepentingan negara dan Bumiputera, tidak boleh berkompromi dalam memastikan pegangan terhadap aset strategik kekal utuh.
“Proses semakan ini tidak wajar diteruskan sekiranya ia menjejaskan manfaat jangka panjang pemegang unit atau memberi kesan negatif kepada usaha PNB menyumbang kepada kesejahteraan rakyat dan pembangunan negara,” katanya dalam satu kenyataan.
Semalam, PNB mengesahkan wujudnya perbincangan awal dengan beberapa pihak berhubung aset lebuh raya di bawah Prolintas, namun menegaskan tiada sebarang keputusan muktamad dibuat setakat ini.
Dalam kenyataan berasingan, PNB menjelaskan kajian strategik itu dilaksanakan sebagai sebahagian daripada penilaian portfolio berkala bagi mengenal pasti peluang menambah nilai jangka panjang untuk pemegang unit.
“Kajian ini merangkumi beberapa pilihan termasuk mengekalkan pemilikan aset berkenaan atau membawa masuk rakan strategik,” jelas PNB.