Thursday, 4, September, 2025
Utama Ekonomi ECRL jadi pemangkin ekonomi Pantai Timur – Tengku Zafrul

ECRL jadi pemangkin ekonomi Pantai Timur – Tengku Zafrul

oleh Ammar Haziq

KUALA LUMPUR: Kerajaan berhasrat menarik lebih banyak pelaburan asing serta mewujudkan hab logistik dan taman perindustrian baharu di sepanjang laluan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), menerusi inisiatif Projek Pemecut Ekonomi (EAP).

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, berkata pembangunan ECRL tidak hanya berfungsi sebagai infrastruktur pengangkutan, sebaliknya pemacu ekonomi yang mampu melonjakkan potensi wilayah Pantai Timur.

“Projek ECRL ini lebih daripada sekadar rel; ia pemangkin ekonomi untuk Pantai Timur. Semua usaha ini bagi memastikan ECRL bukan saja memudahkan pergerakan, tetapi juga menjana peluang pekerjaan serta meningkatkan taraf hidup rakyat.

“Insya-Allah, kerajaan akan terus memantau dan memastikan projek ini memberi manfaat maksimum kepada negara,” katanya dalam hantaran di X.

Terdahulu, Tengku Zafrul menyertai delegasi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, di Tianjin, China, bagi mengadakan pertemuan dengan China Communications Construction Company Limited (CCCC), kontraktor utama ECRL.

Menurutnya, pertemuan itu antara lain membincangkan perkembangan terkini projek berkenaan yang kini mencatat kemajuan memberangsangkan.

“Alhamdulillah, kemajuan ECRL sudah mencapai 85 peratus setakat Julai 2025. Kita berada di landasan tepat untuk menyiapkan Fasa 1 projek ini menjelang Januari 2027.

“Terowong Genting, yang merupakan terowong rel terpanjang di Asia Tenggara, juga berjaya ditembusi pada Julai lalu. Semuanya berjalan lancar,” katanya.

ECRL yang merentasi Pantai Timur hingga ke Lembah Klang dijangka menjadi pemacu utama pertumbuhan ekonomi negara dengan menghubungkan pelabuhan, kawasan industri dan pusat bandar, sekali gus meningkatkan integrasi logistik serantau.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com