BEIJING: Malaysia dijangka menerima limpahan pelaburan asing langsung (FDI) selepas gergasi e-dagang China, JD.com, menyatakan komitmen untuk memperluaskan perniagaannya ke negara ini, khususnya dalam bidang logistik.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata hasrat JD.com itu amat dialu-alukan kerajaan memandangkan kedudukan strategik Malaysia yang berpotensi muncul sebagai hab logistik serantau di Asia Tenggara.
“Langkah ini bukan sahaja memperkukuh kedudukan Malaysia dalam rantaian logistik, malah bakal membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan. Pada masa sama, JD.com juga menyatakan kesediaan membeli lebih banyak produk dari Malaysia untuk dipasarkan di China,” katanya dalam hantaran di laman media sosial.
Terdahulu, Anwar bersama Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz; Menteri Pengangkutan, Anthony Loke; serta Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, menghadiri sesi pertemuan setengah jam dengan pihak pengurusan JD.com di Beijing.
Delegasi JD.com diketuai Ketua Pegawai Eksekutif JD Logistics, Hu Wei, yang juga Ahli Jawatankuasa Eksekutif Strategi Kumpulan.
Ditubuhkan pada 1998, JD.com kini disenaraikan dalam NASDAQ 100 serta berada dalam senarai Fortune Global 500. Ia merupakan peruncit e-dagang terbesar di China dengan lebih 580 juta pelanggan, selain mengendalikan rangkaian pemenuhan pesanan terbesar di negara itu yang mampu menghantar 90 peratus barangan pada hari sama atau keesokan harinya.
Dalam perkembangan berasingan, Anwar turut mengadakan pertemuan dengan China Semiconductor Industry Association (CSIA), badan payung kepada lebih 1,400 syarikat semikonduktor di China.
“Saya menegaskan iltizam Malaysia untuk menjadi pemain utama industri semikonduktor global, selaras Strategi Semikonduktor Nasional (NSS). Sebagai sebuah ekonomi terbuka, kerajaan akan terus menarik pelaburan berkualiti, selain membangunkan sektor strategik demi kesejahteraan rakyat dan masa depan negara,” katanya.
Pertemuan itu dilihat signifikan berikutan rancangan Malaysia menubuhkan Taman Reka Cip Kedua di Cyberjaya seawal suku pertama 2026 sebagai sebahagian daripada NSS, dengan matlamat menjadikan negara hab neutral dan strategik dalam rantaian bekalan cip global.
Sementara itu, hari ketiga lawatan rasmi Perdana Menteri ke China turut menyaksikan beliau mengadakan kunjungan hormat terhadap Presiden Xi Jinping di Great Hall of the People, petang ini, sebagai simbol komitmen Malaysia memperkukuh hubungan diplomatik dengan Beijing.
Memetik laporan Bernama, ia adalah pertemuan keempat antara kedua-dua pemimpin selepas kali terakhir bertemu di Putrajaya ketika lawatan negara Xi pada April lalu.
Selepas itu, Anwar dijadualkan bertemu Perdana Menteri China, Li Qiang, untuk mesyuarat dua hala, sebelum menghadiri majlis makan malam rasmi yang dihoskan Li bagi meraikan beliau dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, di Rumah Tamu Negara Diaoyutai.