PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menegaskan Malaysia dan China mampu berdiri sama tinggi serta bekerjasama dengan penuh hormat dan keikhlasan walaupun berbeza dari segi saiz mahupun kekuatan ekonomi.
Menurut beliau, asas hubungan yang terjalin sejak Malaysia mengiktiraf Republik Rakyat China pada 1974 kini berkembang menjadi kerjasama strategik yang memberi manfaat besar kepada kedua-dua negara.
“Setiap pertemuan saya dengan Presiden Xi Jinping mengukuhkan kefahaman bahawa kita boleh bekerjasama erat tanpa rasa rendah diri atau mendominasi antara satu sama lain,” katanya ketika menyampaikan syarahan umum di Universiti Tianjin, sebuah institusi berusia lebih 130 tahun.
Anwar berkata, daripada hubungan bersejarah itu lahir pelbagai bentuk kerjasama, termasuk projek infrastruktur mega, pembangunan tenaga hijau, ekonomi digital serta kemudahan perjalanan rakyat antara kedua-dua negara.
Beliau menegaskan, dalam suasana ekonomi dunia yang tidak menentu, keikhlasan persahabatan Malaysia–China menjadi aset amat berharga.
“Malaysia menawarkan jalan berbeza, iaitu kedaulatan dalam kebergantungan. Kita boleh kekal dengan pendirian sendiri, namun terbuka kepada perdagangan, sumber dan teknologi demi kemakmuran bersama,” katanya.
Pada masa sama, Perdana Menteri mengingatkan bahawa rantau Asia memikul tanggungjawab besar memastikan aturan ekonomi baharu tidak membawa perpecahan, sebaliknya membina jambatan kerjasama.
“Perpecahan bukan takdir. Jika semangat ini diteguhkan, Asia akan melangkah ke hadapan dengan bermaruah, dan Malaysia–China akan terus menjadi tonggak persahabatan serantau,” katanya.