Thursday, 4, September, 2025
Utama Ekonomi Malaysia teroka pasaran baharu semikonduktor

Malaysia teroka pasaran baharu semikonduktor

oleh Ammar Haziq

TIANJIN: Malaysia kini giat meneroka pasaran baharu dalam industri semikonduktor sebagai sebahagian daripada strategi pempelbagaian bagi mengurangkan kebergantungan kepada pasaran tradisional, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut beliau, China telah mencapai kemajuan luar biasa dalam bidang tersebut, justeru Malaysia berhasrat memanfaatkan peluang dengan menjalin kerjasama lebih erat bersama syarikat gergasi teknologi dari negara itu.

“Malaysia bertuah kerana menjadi hab semikonduktor di Asia Tenggara… lebih 60 peratus produk elektrik dan elektronik (E&E) serta semikonduktor dieksport ke Amerika Syarikat.

“Jadi keputusan kita ialah meneruskan usaha itu, namun pada masa sama mencari pasaran baharu dengan bekerjasama bersama syarikat dari China dan Jepun,” katanya ketika sesi soal jawab selepas menyampaikan syarahan umum di Universiti Tianjin.

Anwar yang juga Menteri Kewangan turut menegaskan kepentingan memupuk bakat baharu dalam industri berteknologi tinggi, khususnya dalam bidang yang mengaplikasikan kecerdasan buatan (AI).

Katanya, selain kerjasama perniagaan, aspek latihan dan pembangunan bakat tidak kurang penting untuk memastikan Malaysia terus relevan sebagai pemain global dalam industri semikonduktor.

“Malah, esok saya akan bertemu semua pemain industri semikonduktor berpusat di China untuk berbincang serta merangka formula bersama. Kita perlu meneroka peluang ini secara bersungguh-sungguh,” katanya.

Anwar kini berada di China untuk lawatan kerja empat hari, yang merupakan lawatan rasmi keempat beliau ke negara itu sejak dilantik sebagai Perdana Menteri pada November 2022.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com