TIANJIN (China): Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, lantang mengkritik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang disifatkan gagal melaksanakan agenda reformasi urus tadbir sehingga menjejaskan kredibiliti badan dunia itu.
Menurut beliau, defisit kepercayaan terhadap sistem antarabangsa semakin ketara apabila PBB tidak mampu menangani isu perdagangan tidak adil, struktur kewangan yang pincang serta kegagalan serius dalam menangani perubahan iklim.
Katanya, penindasan kejam terhadap penduduk Palestin di Semenanjung Gaza menjadi contoh paling jelas kelemahan urus tadbir global ketika ini.
“Pembunuhan beramai-ramai melibatkan wanita dan kanak-kanak membuktikan kelemahan serta ketidakupayaan dunia, khususnya PBB, untuk menghentikan genosid dan pelanggaran undang-undang antarabangsa secara terang-terangan,” katanya.
Anwar menegaskan, Malaysia selaku Pengerusi ASEAN 2025 menggesa reformasi segera terhadap struktur urus tadbir global bagi memastikan akauntabiliti serta melindungi golongan rentan daripada ketidakadilan.
“Ramai rakan saya di sini menyebut tentang kekejaman di Gaza. Membunuh bayi dan kanak-kanak secara terbuka. Bukan hanya di Gaza dan Palestin, malah berjangkit ke Lubnan, Iraq dan Iran.
“Komuniti antarabangsa seolah-olah tidak berdaya. Sebab itu saya menyokong inisiatif tadbir urus global (China), tetapi ia perlu dilaksanakan dengan lebih bermakna, lebih agresif serta menyokong perjuangan menentang imperialisme, kolonialisme dan tekanan,” tegasnya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan sulung Malaysia di pentas Sidang Kemuncak Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO) Plus di Tianjin.
Memetik laporan Bernama, sidang di Pusat Konvensyen Meijian itu menghimpunkan lebih 20 pemimpin dunia termasuk Presiden Rusia Vladimir Putin, Perdana Menteri India Narendra Modi, Presiden Iran Masoud Pezeshkian, Perdana Menteri Pakistan Shehbaz Sharif dan Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan.
Walaupun Malaysia bukan pemerhati atau rakan dialog SCO, kehadiran Anwar menyerlahkan kedudukan Malaysia yang semakin dihormati dalam landskap geopolitik global.
Dalam ucapannya, Perdana Menteri turut menyatakan Malaysia menyambut baik Inisiatif Tadbir Urus Global yang diperkenalkan Presiden Xi Jinping, dengan menekankan kepentingan prinsip kedaulatan, pematuhan undang-undang, kerjasama multilateralisme serta hasil yang memberi manfaat kepada rakyat.