Thursday, 4, September, 2025
Utama Ekonomi Xi Jinping sokong Malaysia sertai BRICS sebagai anggota penuh

Xi Jinping sokong Malaysia sertai BRICS sebagai anggota penuh

oleh Ammar Haziq

BEIJING: Presiden China, Xi Jinping menyatakan sokongan penuh terhadap usaha Malaysia untuk menjadi anggota penuh forum kerjasama BRICS, sekali gus mengukuhkan lagi kedudukan negara di pentas antarabangsa.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata sokongan berkenaan jelas mencerminkan keyakinan China terhadap peranan Malaysia dalam membina masa depan yang lebih stabil dan makmur.

“Saya amat menghargai keikhlasan persahabatan yang dizahirkan Presiden Xi serta penghormatan yang diberikan kepada Malaysia.

“Meskipun kita sebuah negara kecil, keyakinan, saling percaya dan tekad bersama mampu menjadi kekuatan besar untuk membentuk masa depan lebih aman, adil dan makmur,” katanya dalam kenyataan selepas mengadakan pertemuan dengan Xi di Great Hall of the People.

Pertemuan itu menjadi kemuncak lawatan rasmi empat hari Anwar ke China bermula 31 Ogos lalu, sebelum beliau mengadakan mesyuarat dua hala bersama Perdana Menteri China, Li Qiang di Rumah Tetamu Negara Diaoyutai pada sebelah malam.

Dalam ucapan pembukaannya, Anwar turut menzahirkan penghargaan atas jemputan peribadi sebagai Tetamu Khas di Sidang Kemuncak Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO) Plus yang berlangsung pada Isnin.

“Ia satu penghormatan besar untuk Malaysia kerana dapat menyertai perbincangan SCO, di samping menghadiri perhimpunan esok yang bukan sahaja melambangkan penentangan terhadap penjajahan, tetapi juga membawa mesej keamanan sejagat, selari dengan Inisiatif Urustadbir Global yang diketengahkan China,” katanya.

Anwar menambah, lawatan Xi ke Malaysia pada April lalu meninggalkan kesan mendalam kerana ia bukan sahaja disambut baik oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, malah rakyat Malaysia turut menerima kunjungan itu dengan penuh mesra.

Selain menghadiri Sidang Kemuncak SCO Plus 2025, Anwar juga dijemput menyaksikan sambutan ulang tahun ke-80 kemenangan Perang Rakyat China menentang Pencerobohan Jepun serta Perang Anti-Fasis Dunia di Dataran Tian’anmen, pada Rabu.

Perdana Menteri turut menyatakan sokongan terhadap inisiatif utama yang dibawa Xi termasuk Belt and Road Initiative (BRI) dan Global Governance Initiative (GGI) yang diyakini mampu memperkukuh jaringan keterhubungan serta kerjasama antarabangsa.

“China kekal sebagai rakan dagang terbesar Malaysia selama 16 tahun berturut-turut dengan nilai perdagangan dua hala tahun lalu mencecah AS$106 bilion.

“Saya tegaskan kepada Presiden Xi mengenai komitmen Malaysia untuk terus memperkukuh eksport bernilai tinggi seperti E&E, aeroangkasa, perubatan, farmaseutikal serta minyak dan gas,” katanya.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com