BEIJING: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melancarkan sebuah buku karya usahawan, ahli ekonomi dan sarjana terkenal China, Dr Yan Lijin, ketika menghadiri siri pertemuan bersama pelabur serta pemimpin perniagaan di sini.
Buku berbahasa Cina berjudul Malaysia, Truly Asia: A Country That Captivates the Heart turut memuatkan kata pengantar ditulis sendiri oleh Anwar, yang mengiktiraf sumbangan Yan dalam memperkukuh hubungan antara China dengan pelbagai negara termasuk Malaysia.
Dalam pengantarnya, Anwar menekankan bahawa pemahaman dan pengiktirafan Yan terhadap nilai, budaya serta visi pembangunan Malaysia mencerminkan kecintaan mendalam beliau terhadap negara ini.
“Selama ini, beliau bukan sahaja sekutu kepada Malaysia, malah seorang sahabat sejati,” katanya.
Anwar menambah, buku berkenaan memberi gambaran menyeluruh mengenai Malaysia sebagai sebuah negara dinamik yang kaya biodiversiti, berbilang budaya serta berjaya menyeimbangkan tradisi dengan kemodenan.
“Pandangan unik beliau akan memberikan perspektif baharu kepada mereka yang ingin melabur, belajar atau meneroka Malaysia.
“Pemikirannya juga menonjolkan peranan penting Malaysia dalam Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI), selain kedudukan istimewa sebagai hab pertumbuhan ekonomi, integrasi budaya dan industri hijau di Asia Tenggara,” ujar Anwar.
Beliau turut menegaskan bahawa pengukuhan hubungan dan pertukaran antara Malaysia serta China akan membuka lebih banyak peluang baharu, selain memperkukuh kerjasama dalam menangani cabaran global pada masa hadapan.
Buku itu turut menghuraikan visi Malaysia MADANI, membincangkan pembangunan ekonomi dan sosial negara, pertukaran budaya serta prospek masa depan kerjasama di bawah kerangka BRI.