KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sempat berjabat tangan dan bertegur sapa dengan pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un ketika menghadiri perarakan Hari Kemenangan China di Dataran Tiananmen, Beijing.
Menerusi hantaran di Facebook, Anwar berkongsi pengalaman ringkas itu yang berlaku secara kebetulan ketika kedua-duanya menyaksikan perarakan ketenteraan bersempena memperingati 80 tahun berakhirnya Perang Dunia Kedua.
“Secara kebetulan bertemu Ketua Pemerintah Korea Utara, Kim Jong Un yang turut hadir di Dataran Tiananmen. Sempat salam dan bertegur sapa,” katanya.
Terdahulu, Anwar bersama isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail tiba di lokasi pada jam 8.30 pagi dan disambut Presiden China, Xi Jinping serta Wanita Pertama, Peng Liyuan.
Menurut Kementerian Luar China, seramai 26 pemimpin asing hadir pada acara berkenaan, termasuk Presiden Rusia, Vladimir Putin; Presiden Iran, Masoud Pezeshkian; Raja Kemboja, Norodom Sihamoni; Presiden Mongolia, Ukhnaa Khurelsukh; Presiden Indonesia, Prabowo Subianto; dan Pemangku Presiden Myanmar, Min Aung Hlaing.
Puluhan ribu orang membanjiri Dataran Tiananmen untuk menyaksikan perarakan itu yang turut disiarkan secara langsung oleh media tempatan.
Hantaran mengenai pertemuan Anwar dan Kim Jong Un itu menarik pelbagai reaksi dalam kalangan warganet, kebanyakannya memuji keakraban Perdana Menteri dengan pemimpin dunia lain.