TANJUNG MALIM: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempelawa syarikat automotif gergasi China, Zhejiang Geely Holding Group Co Ltd (Geely) meningkatkan pelaburan mereka dalam membangunkan Lembah Teknologi Tinggi Automotif (AHTV) di sini.
Menurut beliau, AHTV berpotensi menjadi pusat utama rantaian bekalan automotif serantau hasil pelaburan besar Proton yang kini beroperasi di kawasan berkenaan.
“Pelaburan Proton sudah sedia besar, namun kita mahu AHTV berkembang sebagai hab automotif penting yang turut memberi ruang lebih besar kepada Geely,” katanya.
Anwar berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada majlis Pelancaran Kilang EV Proton di sini, pada Khamis.
Jelas beliau, kerjasama erat antara kerajaan negeri serta kementerian berkaitan akan menjadi faktor penentu dalam memastikan kejayaan pelaburan seterusnya.
Perdana Menteri turut memaklumkan beliau telah menyampaikan hasrat kepada Pengerusi Geely, Eric Li Shufu, agar peluang di AHTV digunakan bukan hanya untuk pengeluaran kenderaan, tetapi juga membangunkan pusat kecemerlangan dalam latihan serta pendidikan.
“Saya nyatakan kepada Pengerusi Geely supaya jadikan AHTV bukan sekadar kilang kereta, tetapi sebuah centre of excellence yang memberi tumpuan kepada latihan dan pendidikan.
“Malah, ada cadangan awal untuk menubuhkan pusat pendidikan atau universiti di kawasan ini. Dengan sokongan kerajaan negeri serta kementerian di peringkat Persekutuan, usaha ini mampu direalisasikan,” katanya.