BEIJING: Cadangan untuk melanjutkan jajaran Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) sehingga ke Rantau Panjang, Kelantan yang bersempadan dengan Thailand masih di peringkat awal perbincangan, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, pasukan terlibat perlu meneliti secara mendalam butiran, kos serta kaedah pembayaran bagi memastikan kesinambungan projek itu dapat dilaksanakan dengan baik.
“Memandangkan ini kesinambungan projek sedia ada, kosnya dijangka lebih rendah,” katanya pada sidang media bersama media Malaysia sebelum menamatkan lawatan rasmi empat hari ke China.
Menurut Anwar, perkara itu turut disentuh dalam pertemuan dua hala berasingan dengan Presiden China, Xi Jinping dan Perdana Menteri China, Li Qiang.
“Cadangan adalah melanjutkan jajaran antara 20 hingga 25 kilometer ke Rantau Panjang, yang terletak berhampiran sempadan Thailand,” jelasnya.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, pihaknya berharap cadangan berkenaan dapat direalisasikan dalam usaha merancakkan pembangunan di kawasan berkenaan.
“Kawasan dari Kota Bharu ke Rantau Panjang, khususnya Rantau Panjang, masih agak kurang membangun.
“Dengan adanya stesen ini kelak, kita percaya ia mampu mewujudkan ekosistem baharu yang menggalakkan pertumbuhan perniagaan dan aktiviti ekonomi,” katanya.
Sebelum ini, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke memaklumkan di Dewan Rakyat bahawa perbincangan lanjut dengan kerajaan China serta kontraktor utama, China Communications Construction Co Ltd (CCCC), perlu dilakukan kerana projek ECRL kini sedang giat dibina dan jajaran ke Rantau Panjang termasuk dalam pakej projek.
Dalam perkembangan lain, Anwar turut mengesahkan bahawa Perdana Menteri China, Li Qiang akan mewakili negaranya pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang dijadual berlangsung di Kuala Lumpur hujung bulan depan.