Monday, 8, September, 2025
Utama Tech China sedia kongsi teknologi, Malaysia berpeluang lonjak industri EV

China sedia kongsi teknologi, Malaysia berpeluang lonjak industri EV

oleh Ammar Haziq

TANJUNG MALIM: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kesediaan China memindahkan teknologi ke Malaysia bakal menjadi pemangkin utama kepada penguasaan tempatan dalam sektor automotif dan kenderaan elektrik (EV).

Beliau berkata, perkara itu dibuktikan menerusi siri pertemuan bersama Presiden China, Xi Jinping dan Premier Li Qiang di Beijing baru-baru ini yang bukan sahaja membincangkan soal pelaburan, tetapi juga komitmen terhadap pembangunan tenaga mahir Malaysia.

“Ini melangkaui jangkaan kita. Biasanya isu pemindahan teknologi sukar direalisasikan, namun kali ini mereka tampil dengan kesediaan yang jelas, termasuk membuka peluang kepada anak muda kita untuk mengasah kepakaran sebagai jurutera,” katanya.

Anwar berkata demikian ketika berucap pada majlis Pelancaran Kilang EV Proton di sini, pada Khamis.

Menurut beliau, kerjasama strategik itu bukan hanya menguntungkan syarikat pelabur, malah memberi impak langsung kepada jurutera dan tenaga mahir tempatan yang kini berpeluang menguasai teknologi terkini.

“China bukan sekadar membawa masuk pelaburan, tetapi turut menawarkan ruang pembangunan bakat tempatan. Inilah nilai tambah besar yang kita peroleh daripada hubungan erat ini,” katanya.

Jelas Anwar lagi, langkah itu seiring dengan dasar perindustrian negara yang menitikberatkan pembangunan teknologi sejak dari peringkat asas sehingga mampu menghasilkan produk sendiri.

“Jika kita imbas kembali era 1980-an hingga awal 2000-an, Malaysia kurang berpeluang menguasai teknologi kerana kerjasama ketika itu tidak memberi ruang luas kepada pemindahan kepakaran.

“Hari ini, keadaan jauh berbeza. Kita berjaya memulakan dasar yang lebih efektif dan rakyat khususnya jurutera serta profesional muda berada di barisan hadapan untuk memacu industri berteknologi tinggi,” katanya.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com