Sunday, 7, September, 2025
Utama Nasional PM ucap takziah tragedi gempa bumi Afghanistan, tanah runtuh Sudan

PM ucap takziah tragedi gempa bumi Afghanistan, tanah runtuh Sudan

oleh Ammar Haziq

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan rasa dukacita susulan dua bencana besar yang meragut ribuan nyawa, iaitu gempa bumi di Afghanistan dan kejadian tanah runtuh di Sudan.

Dalam satu hantaran di media sosial, Anwar berkata Malaysia berkongsi kesedihan dengan keluarga mangsa yang terjejas serta mendoakan mereka tabah menghadapi dugaan.

“Saya amat sedih dengan kejadian gempa bumi yang melanda Afghanistan sehingga meragut banyak nyawa serta meninggalkan keluarga dalam kedukaan dan kesusahan.

“Saya juga berdukacita dengan berita tanah runtuh besar di Sudan yang mengorbankan lebih seribu nyawa. Doa dan ingatan saya bersama semua yang kehilangan insan tersayang,” katanya.

Beliau menegaskan Malaysia berdiri teguh menyatakan solidariti bersama rakyat Afghanistan dan Sudan dalam saat duka ini.

Pada Selasa, gempa bumi berukuran 6.0 magnitud melanda timur Afghanistan, mengorbankan sekurang-kurangnya 1,411 orang dan mencederakan 3,124 mangsa.

Laporan juga menyebut lebih 5,400 rumah di wilayah Kunar musnah, dengan pasukan penyelamat masih giat mencari mangsa yang tertimbus.

Sementara itu, lebih 1,000 nyawa terkorban dalam tragedi tanah runtuh di sebuah perkampungan di kawasan Pergunungan Marra, barat Sudan.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com