Sunday, 7, September, 2025
Utama Nasional PM doa politik Indonesia pulih, ingatkan pentingnya kestabilan negara

PM doa politik Indonesia pulih, ingatkan pentingnya kestabilan negara

oleh Ammar Haziq

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendoakan agar keadaan politik dan pentadbiran di Indonesia terus pulih demi kesejahteraan republik itu yang dianggap sebagai negara sahabat dan keluarga serumpun.

Menurut Anwar, beliau baru-baru ini bertemu Presiden Indonesia, Prabowo Subianto di Beijing dan dimaklumkan bahawa situasi semasa di negara berkenaan menunjukkan perkembangan positif.

“Kita doakan yang terbaik untuk Indonesia. Bukan sahaja sebagai negara ASEAN, tetapi juga sebagai negara sahabat dan keluarga serumpun,” katanya kepada media selepas menghadiri Program Temu Mesra Madani Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan Menyantuni Masyarakat di Masjid Jamek Bandar Baru Seri Petaling, pada Jumaat.

Dalam masa sama, Anwar turut menyatakan harapan agar proses pembentukan kerajaan baharu di Thailand dapat disegerakan dan beliau akan menghubungi kepimpinan negara itu sebaik keadaan kembali stabil.

Anwar turut menegaskan kepentingan mengekalkan kestabilan politik dalam negara dan menyeru agar semua pihak tidak mengeruhkan suasana.

“Orang boleh bantah, kita tidak menghalang. Tapi isu apa? Harga minyak turun, peruntukan kepada rakyat ditambah, elaun menteri dipotong, dana menteri tak ambil gaji. Yang lain-lain boleh dimasukkan dalam Belanjawan.

“Tapi syaratnya negara mesti aman, rakyat perlu bekerja keras, ekonomi berkembang, pelaburan masuk. Jangan ganggu kestabilan ini kerana yang akan tertekan adalah rakyat,” katanya.

Beliau turut mengingatkan bahawa kebebasan bersuara mestilah selari dengan undang-undang dan adab dalam berpolitik.

“Kalau fitnah, contohnya tuduh sokong Israel, ejen Israel, itu semua biadab dan tidak berakhlak,” tegasnya sambil menambah bahawa imej negara perlu dijaga walaupun rakyat mempunyai pilihan politik masing-masing.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com