Friday, 24, October, 2025
Utama Nasional RM100 SARA bukan penyelesaian tunggal, tapi langkah ringankan beban rakyat

RM100 SARA bukan penyelesaian tunggal, tapi langkah ringankan beban rakyat

oleh Ammar Haziq

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) sebanyak RM100 secara sekali beri kepada individu berusia 18 tahun ke atas bukanlah satu-satunya jalan penyelesaian, sebaliknya antara inisiatif tambahan kerajaan bagi meringankan beban rakyat berdepan tekanan kos sara hidup.

Menurut Anwar, bantuan yang diagihkan pada 31 Ogos lalu adalah pelengkap kepada program MySARA dan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) yang sedang berjalan.

“Memang ada yang mempertikai, kata RM100 nak buat apa. Tapi mereka lupa, ini tambahan kepada MySARA dan STR. Berapa jumlah kita salurkan kepada rakyat? Sembilan juta orang.

“Bila saya berbincang dengan rakan-rakan luar negara, terutamanya pemimpin ASEAN, mereka tanya, dengan penduduk 34 juta, bagaimana kita boleh belanja RM15 bilion untuk bantu sembilan juta orang.

“Kebanyakannya akui, itu sesuatu yang mereka sendiri tidak mampu lakukan,” katanya menerusi rakaman ucapan yang dikongsi di Facebook semalam.

Ucapan itu disampaikan ketika majlis penutup Program MADANI Rakyat di Kompleks Sukan Majlis Daerah Baling, Kedah.

Anwar turut menyatakan bahawa pendekatan pelaksanaan SARA menjadi contoh kepada pemimpin luar walaupun mereka mengakui ia sukar dilaksanakan di negara masing-masing.

Sementara itu, Kementerian Kewangan memaklumkan bahawa pelaksanaan SARA memasuki hari ketujuh semalam berjalan lancar dengan nilai jualan mencecah RM100 juta setakat 10.30 malam, membabitkan 1.7 juta penerima dan kadar transaksi berjaya sebanyak 99.9 peratus.

Penghargaan SARA atau bantuan SARA sekali beri yang diumum sempena sambutan Hari Kebangsaan 2025 memberi manfaat kepada seramai 22 juta rakyat, dengan tambahan peruntukan RM2 bilion, menjadikan jumlah keseluruhan bagi STR dan SARA tahun ini mencecah RM15 bilion – tertinggi dalam sejarah bantuan tunai negara.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com