PUTRAJAYA:Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan keperluan untuk memperkukuh pemahaman sejarah dalam kalangan rakyat, khususnya golongan muda, sebagai langkah strategik membina tamadun negara yang berteraskan jati diri bangsa.
Beliau berkata, negara tidak boleh hanya menumpukan kepada kemajuan teknologi semata-mata, sebaliknya perlu memberi perhatian kepada aspek sejarah, budaya dan sastera yang menjadi asas ketamadunan.
“Negara tidak boleh jadi seperti sesetengah negara yang terlalu fokus pada teknologi tetapi melupakan sejarah, budaya dan sastera. Unsur ini adalah tiang seri tamadun yang mesti dipertahankan.
“Tamadun tidak akan berdiri kukuh dengan teknologi sahaja. Ia mesti dibangunkan bersama nilai budaya, sejarah dan ketinggian pemikiran yang membentuk identiti Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran dan penyampaian watikah pelantikan Majlis Sejarawan Negara di sini, hari ini.
Menurut Anwar, penubuhan Majlis Sejarawan Negara merupakan satu langkah penting untuk memastikan pendidikan sejarah di negara ini berasaskan fakta, selain berperanan sebagai badan penasihat kepada kerajaan dalam hal berkaitan sejarah dan warisan negara.
“Tugas majlis ini bukan sekadar akademik, tetapi berwacana dan memberi pandangan kepada kerajaan tentang apa lagi yang boleh dilakukan untuk meningkatkan literasi sejarah dalam masyarakat,” katanya lagi.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang; Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul; Timbalan Menteri Perpaduan Negara, K. Saraswathy dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.