KUALA LUMPUR: Kerajaan Persekutuan menegaskan komitmen untuk meneruskan perbincangan bersama Kerajaan Sarawak dan Sabah mengenai pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan pimpinan beliau akan memastikan perbincangan itu berjalan dalam suasana harmoni, tertib dan penuh rasa saling menghormati.
Beliau berkata demikian susulan Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) Bilangan 1 Tahun 2025 yang berlangsung di Kompleks Satria Pertiwi, Kuching, pada Jumaat.
“Mesyuarat ini menekankan pelaporan status terkini pelaksanaan persetujuan di bawah MA63. Antara perkara dibincangkan termasuk cadangan menambah bilangan kerusi Ahli Dewan Rakyat untuk Sabah dan Sarawak, hal ehwal pelancongan, kuasa dalam pelantikan Pesuruhjaya Kehakiman, serta pemberian kuasa berkaitan pengurusan alam sekitar,” katanya dalam kenyataan.
Menurut beliau, Kerajaan MADANI bukan sekadar berusaha menyelesaikan isu berbangkit, tetapi juga bertekad memenuhi aspirasi rakyat Sabah dan Sarawak yang sudah lama menunggu.
Mesyuarat berkenaan turut dihadiri Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg; Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor; serta Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.
Anwar menegaskan, Kerajaan MADANI adalah kerajaan yang paling aktif dalam menyelesaikan pelbagai perkara berkaitan MA63 hasil kerjasama erat semua pihak.
“Saya menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Sarawak dan Sabah atas komitmen, keikhlasan serta semangat persaudaraan yang sentiasa menjadi asas dalam usaha kita menzahirkan Perjanjian Malaysia 1963 secara adil dan bermakna,” ujarnya.