BUTTERWORTH: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan rakyat Malaysia mesti menolak sikap ekstrem kaum dan agama bagi menjamin kelangsungan negara yang merdeka, berdaulat dan stabil.
Berucap pada Majlis Sambutan Hari Malaysia 2025 bertemakan “Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni” di Pusat Konvensyen PICCA@Arena, beliau berkata fanatisme perkauman dan agama hanya akan memecahbelahkan masyarakat serta menggugat kestabilan politik dan ekonomi negara.
“Sebagai negara merdeka, kita mesti bersatu dan membuang kebencian serta prasangka antara kaum, agama dan wilayah. Sikap fanatik serta melampau tidak boleh diberi ruang dalam negara ini,” katanya di hadapan ribuan hadirin pelbagai kaum.
Majlis itu disempurnakan Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ramli Ngah Talib dengan kehadiran Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof; Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas; serta Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Shahelmey Yahya.
Anwar turut menekankan bahawa cabaran utama kepimpinan negara kini ialah memastikan ekonomi terus berkembang melalui tadbir urus berintegriti dan berlandaskan nilai kemanusiaan.
Menurutnya, kemerdekaan sebenar bukan hanya menggantikan penjajah dengan pentadbir tempatan, tetapi memastikan wujudnya sistem ekonomi, budaya dan politik yang adil, berakhlak serta menjamin perpaduan nasional.
Beliau berkata kemerdekaan Malaysia juga unik kerana ia dibina atas semangat kebersamaan serta keadilan, bukan penindasan kaum lain, dan prinsip ini perlu terus dipertahankan oleh generasi akan datang.