BUTTERWORTH: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kemerdekaan Malaysia tidak boleh ditafsir hanya sebagai pertukaran kuasa daripada penjajah kepada pemimpin tempatan, sebaliknya mesti disertai pembaharuan dalam sistem pemerintahan negara.
Berucap pada Amanat Hari Malaysia 2025 di Pusat Konvensyen PICCA@Arena Butterworth pads Selasa, beliau menegaskan bahaya sebenar ialah sikap rakus, tamak haloba dan diskriminasi yang diwarisi daripada penjajah masih diamalkan oleh segelintir pemimpin sehingga menafikan erti sebenar kemerdekaan.
“Kemerdekaan bukan hanya menggantikan Residen atau Gabenor Jeneral Inggeris dengan anak-anak tempatan, tetapi turut menuntut penghapusan sikap tamak dan rakus peninggalan kebaratan,” katanya.
Menurut Anwar, erti sebenar kemerdekaan ialah memastikan wujud sistem ekonomi dan budaya yang adil selain menjamin perpaduan rakyat tanpa prasangka kaum atau diskriminasi.
“Ini membezakan kita dengan penjajah Inggeris yang menanam benih prejudis dan perpecahan,” tegasnya.
Beliau turut mengingatkan negara berisiko mengulangi kesilapan lampau jika kekuasaan digunakan hanya untuk memperkayakan kelompok tertentu, sama seperti yang dilakukan penjajah.
“Malaysia mesti mengambil iktibar daripada sejarah, bahawa perjuangan kemerdekaan bukan sekadar menyingkirkan kuasa asing, tetapi membina sistem baharu berasaskan keadilan, rahmah dan kemanusiaan,” katanya.