Thursday, 18, September, 2025
Utama Nasional PM Anwar Kunjungi TYT Pulau Pinang, tukar pandangan kerjasama Persekutuan dan negeri

PM Anwar Kunjungi TYT Pulau Pinang, tukar pandangan kerjasama Persekutuan dan negeri

oleh Ammar Haziq

GEORGE TOWN: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan kunjungan hormat ke atas Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ramli Ngah Talib, sejurus tiba dari Doha, Qatar selepas menghadiri Sidang Kemuncak Luar Biasa Arab-Islam pagi Selasa.

Ketibaan beliau di kediaman rasmi TYT, Seri Mutiara, disambut oleh Tun Ramli dan isteri, Toh Puan Raja Noora Ashikin Raja Abdullah, sebelum dibawa melawat galeri mini.

Anwar kemudiannya menghadiri Majlis Santapan Tengah Hari bersama Tun Ramli dengan diiringi Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil; Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow; serta Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Seri Mohamad Fauzi Md Isa.

Menurut Fahmi, kunjungan itu antara lain membincangkan usaha memperkukuh hubungan serta kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dan negeri. Beliau turut menjemput Tun Ramli hadir sebagai tetamu utama ke Sambutan Hari Malaysia 2025 malam ini.

“Terima kasih TYT kerana menerima kunjungan hormat kami. Kami turut bertukar pandangan mengenai kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dan negeri,” katanya menerusi catatan di Facebook.

Perdana Menteri dijadual menghadiri sambutan berkenaan yang bertemakan “Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni” di Pusat Konvensyen PICCA@Arena Butterworth.

Acara itu turut dihadiri Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, mewakili Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg; serta Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Shahelmey Yahya, mewakili Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.

PPenganjuran kali ini berlangsung di Pulau Pinang selaras dengan amalan penggiliran lokasi sambutan Hari Malaysia antara Sabah, Sarawak dan Semenanjung setiap tahun.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com