KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjemput rakan sejawatnya dari Thailand, Anutin Charnvirakul, untuk melakukan kunjungan rasmi ke Malaysia susulan pelantikan beliau sebagai Perdana Menteri Thailand yang baharu.
Dalam hantaran di Facebook, Anwar memaklumkan jemputan itu disampaikan ketika mereka berbual melalui panggilan telefon.
“Kunjungan (Anutin) itu bertujuan memperkukuh hubungan erat antara kedua-dua negara berjiran. Kami turut membincangkan perkembangan terkini di sempadan Thailand-Kemboja. Saya menekankan pentingnya semua pihak mengekalkan keamanan dan mengelakkan perbezaan daripada menimbulkan ketegangan,” katanya.
Anwar menegaskan sebarang isu wajar diselesaikan melalui Mesyuarat Jawatankuasa Sempadan Bersama (JBC) dengan semangat dialog dan persefahaman demi kestabilan serantau.
Anutin, 58, yang mengetuai parti Bhumjaithai, secara rasmi dilantik sebagai Perdana Menteri Thailand ke-32 pada 7 September lalu selepas menerima perkenan diraja, sekali gus membuka lembaran baharu dalam landskap politik negara itu.