Friday, 19, September, 2025
Utama Nasional PM lawat Sabah, tinjau mangsa bencana

PM lawat Sabah, tinjau mangsa bencana

oleh Ammar Haziq

KOTA KINABALU: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini berada di Sabah bagi meninjau keadaan semasa bencana tanah runtuh dan banjir yang melanda beberapa kawasan di Penampang dan Kota Kinabalu.

Lawatan bermula di lokasi tanah runtuh Country Heights Penampang pada jam 2.15 petang, sebelum beliau bergerak ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Kolopis di Sekolah Kebangsaan St Paul Kolopis, Penampang.

Di situ, Anwar meluangkan masa bertemu mangsa, meninjau kemudahan, serta memastikan bantuan mencukupi.

Pada jam 3.40 petang, beliau meneruskan lawatan ke PPS Kampung Sarapung, Penampang untuk mendengar keluhan penduduk yang terkesan dan menyampaikan kata semangat kepada mereka.

Lawatan diteruskan ke Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Gaya, Kota Kinabalu pada 4.30 petang bagi meninjau lagi kawasan tanah runtuh, sebelum beliau berlepas pulang ke Kuala Lumpur.

Menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah, seramai 3,325 mangsa daripada 964 keluarga kini ditempatkan di 27 PPS di Membakut, Penampang, Papar, Putatan, Sipitang, selain sebuah pusat pemindahan kekal di Beaufort.

Setakat ini, tanah runtuh dilaporkan meragut 13 nyawa, manakala seorang mangsa terkorban akibat banjir.

Terdahulu, Perdana Menteri meluluskan peruntukan segera RM10 juta menerusi Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) bagi membantu mangsa yang terkesan. Jumlah itu merupakan tambahan kepada RM11 juta yang disalurkan kerajaan negeri untuk pembaikan segera infrastruktur asas di kawasan terlibat.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com