Sunday, 21, September, 2025
Utama Nasional Malaysia seru Thailand, Kemboja selesaikan pertikaian sempadan melalui rundingan JBC

Malaysia seru Thailand, Kemboja selesaikan pertikaian sempadan melalui rundingan JBC

oleh Ammar Haziq

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menggesa agar segala isu membabitkan pertikaian sempadan antara Thailand dan Kemboja dibincangkan secara diplomatik menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Sempadan Bersama (JBC).

Anwar berkata, beliau sudah berhubung dengan Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet, bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai perkembangan semasa di kawasan berkenaan.

“Saya menyeru agar sebarang isu yang masih tertangguh dibawa ke meja rundingan melalui JBC,” katanya menerusi kenyataan di Facebook rasmi beliau, semalam.

Menurutnya, Malaysia percaya semangat dialog, diplomasi serta persefahaman antara negara anggota ASEAN adalah jalan terbaik untuk mengelakkan konflik berlarutan.

“Malaysia optimis bahawa pendekatan dialog dan rundingan adalah penyelesaian paling berkesan dalam menangani pertikaian,” ujarnya.

Awal pagi semalam, Anwar turut menghubungi Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul, untuk membincangkan keadaan di sempadan susulan insiden terbaharu.

Terdahulu, polis Thailand dilaporkan melepaskan gas pemedih mata dan peluru getah ke arah orang awam Kemboja di kawasan yang menjadi pertikaian.

Kemboja pula mendakwa pihak tentera Thailand menghalang lebih 20 keluarga rakyatnya daripada pulang ke kediaman di sempadan, yang disifatkan Hun Manet sebagai tindakan pencerobohan.

Perdana Menteri Kemboja itu juga menghantar surat rasmi kepada Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi membantah tindakan Thailand yang didakwa memperluaskan kawasan pertikaian dengan memasang kawat berduri serta mengusir penduduk.

Mengikut laporan pihak berkuasa kedua-dua negara, konflik itu adalah yang paling serius sejak gencatan senjata diumumkan pada 28 Julai lalu, dengan sekurang-kurangnya 23 rakyat Kemboja dilaporkan cedera.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com