Sunday, 21, September, 2025
Utama Nasional PM tinjau bencana di Sabah, umum bantuan tambahan

PM tinjau bencana di Sabah, umum bantuan tambahan

oleh Ammar Haziq

KOTA KINABALU: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat meninjau situasi bencana banjir dan tanah runtuh yang melanda beberapa daerah sejak minggu lalu sehingga meragut 14 nyawa.

Ketibaan beliau disambut Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, bersama barisan menteri Kabinet negeri dan Persekutuan.

Sebaik tiba, Anwar menerima taklimat mengenai situasi semasa bencana daripada Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Safar Untong, di Bilik Taklimat Lapangan Terbang Antarabangsa Tanjung Aru.

Perdana Menteri meninjau lokasi tanah runtuh di Country Heights, Penampang, sebelum melawat Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Kolopis di Sekolah Kebangsaan St. Paul Kolopis.

Beliau turut berkunjung ke PPS Kampung Sarapung bagi mendengar sendiri permasalahan yang dihadapi mangsa, sebelum menutup lawatan dengan meninjau kawasan tanah runtuh di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Gaya, Kota Kinabalu.

Menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah, jumlah mangsa banjir setakat jam 12 tengah hari menurun kepada 2,467 orang daripada 766 keluarga, berbanding 2,602 orang daripada 806 keluarga pada waktu pagi.

Hujan berterusan sejak minggu lalu menyebabkan banjir dan tanah runtuh di beberapa kawasan, dengan 13 korban akibat tanah runtuh dan seorang lagi mangsa terkorban akibat banjir.

Bagi membantu meringankan beban mangsa, Anwar pada Isnin lalu (15 September) meluluskan peruntukan segera berjumlah RM10 juta melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

Jumlah itu adalah tambahan kepada RM11 juta yang sudah disalurkan menerusi kerajaan negeri bagi tujuan pembaikan segera infrastruktur asas di kawasan terjejas.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com