KOTA KINABALU: Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) memilih 38 sekolah dalam kem tentera di seluruh negara sebagai Sekolah Angkat MADANI, termasuk dua sekolah di Sabah, kata Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Beliau berkata, inisiatif itu merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan di bawah program MADANI yang digerakkan LTAT bersama syarikat serta kumpulan di bawahnya bagi memberi sokongan kepada sekolah terpilih.
“Di Sabah, dua sekolah dipilih iaitu masing-masing dalam kem di sini dan di Kota Belud. Setiap sekolah menerima sumbangan sebanyak RM25,000,” katanya kepada media selepas mengadakan lawatan ke Kem Lok Kawi.
Program Sekolah Angkat MADANI dicetuskan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bagi menggalakkan penyertaan lebih besar sektor korporat dalam pembangunan negara khususnya dalam bidang pendidikan.
Selain itu, Mohamed Khaled berkata LTAT turut melaksanakan Kem Santuni MADANI dengan peruntukan RM100,000 bagi setiap kem untuk menaik taraf kemudahan di lima kem terpilih, dua daripadanya di Sabah dan tiga di Semenanjung.
“Di Tawau, anak syarikat LTAT telah menaik taraf dewan serbaguna dengan peruntukan RM100,000,” katanya.
Lawatan beliau turut meninjau pelaksanaan pelbagai program pembangunan dan kebajikan anggota tentera serta keluarga mereka, termasuk Program Ekonomi MADANI melalui projek ternakan madu kelulut.
Menurutnya, program itu melibatkan 40 peserta dengan peruntukan RM80,000 dan dijangka menjana pendapatan sehingga RM1,700 sebulan bagi setiap ahli.
“Kita beri ruang kepada anggota untuk menjayakan program ekonomi mengikut minat masing-masing, dan ia menjadi platform menambah sumber pendapatan mereka,” katanya.