KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menitipkan doa dan harapan agar pelayaran kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) membawa sinar baharu buat rakyat Gaza yang kini terus berada dalam kepungan rejim Zionis Israel.
“Doa tulus daripada seluruh masyarakat mengiringi misi pelayaran kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF). Semoga usaha ini menjadi sinar harapan buat rakyat Gaza yang sedang diuji, serta menjadi saksi kesatuan nurani kemanusiaan sejagat,” katanya dalam kenyataan di Facebook rasminya pada Isnin.
Beliau turut memetik ucapannya pada Sidang Kemuncak Darurat Arab–Islam di Doha, Qatar pada 15 September lalu, yang menegaskan GSF bukan membawa senjata, sebaliknya memikul amanah bantuan kemanusiaan.
GSF menghimpunkan gabungan antarabangsa dari Eropah, Asia, Afrika Selatan, Amerika Latin dan Asia Barat. Semua delegasi berpegang pada prinsip tanpa keganasan, menjadikan flotila itu simbol solidariti dunia terhadap penderitaan rakyat Gaza.
Misi tersebut juga menegaskan undang-undang antarabangsa melindungi orang awam dalam misi kemanusiaan, dan sebarang serangan terhadap flotila akan melanggar Konvensyen Geneva. Pelayaran itu dilakukan dalam kerangka undang-undang untuk menghantar bantuan, selain mencabar sekatan Israel yang menyekat laluan bantuan ke Gaza.
Prinsip tersebut turut diperkuatkan dengan keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) yang mengarahkan Israel memudahkan kemasukan bantuan kemanusiaan ke wilayah terbabit.
Pada 15 September lalu, seramai 14 peserta GSF dari Malaysia berlepas dari Pelabuhan Augusta, Sicily, Itali selepas menunggu hampir dua minggu. Mereka menyertai lebih 70 kapal dari Sepanyol, Tunisia dan Itali bagi meneruskan pelayaran ke Gaza.
Setiausaha Agung Muslim Care Malaysia (MCM), Ahmad Safuan Ajar, memaklumkan semua peserta berada dalam keadaan sihat dan telah menaiki bot masing-masing bagi meneruskan misi kemanusiaan tersebut.
Anwar titip doa iringi misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla ke Gaza
233
Pos Sebelumnya