Wednesday, 1, October, 2025
Utama Nasional KDN tawar tukar cip MyKad rosak percuma sempena pelaksanaan BUDI95

KDN tawar tukar cip MyKad rosak percuma sempena pelaksanaan BUDI95

oleh Ammar Haziq

KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengumumkan tawaran penukaran cip MyKad rosak secara percuma bermula 23 September hingga 7 Oktober 2025, seiring dengan pelaksanaan program BUDI MADANI RON95 (BUDI95) yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata kemudahan itu boleh didapati di semua kaunter dan pejabat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di seluruh negara.

“Kerajaan MADANI prihatin untuk menanggung sepenuhnya kos tersebut dalam tempoh ini bagi memastikan akses rakyat kepada subsidi tidak sekali-kali terjejas hanya kerana masalah teknikal pada MyKad. Setiap warganegara yang layak akan dapat menikmati manfaat subsidi BUDI95 dengan lancar,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Beliau mendedahkan bahawa sehingga 21 September sahaja, JPN telah menerima 22,858 permohonan penggantian MyKad. Berdasarkan trend dua bulan terkini, purata permohonan bagi kategori cip rosak direkodkan sekitar 43,000 unit sebulan.

Saifuddin turut mengingatkan rakyat Malaysia supaya memastikan MyKad sentiasa berada dalam keadaan baik kerana ia bukan sahaja dokumen pengenalan diri, tetapi juga kunci kepada pelbagai kemudahan kerajaan termasuk subsidi bersasar BUDI95.

“Kerajaan MADANI berpegang teguh kepada prinsip kepedulian dan inklusiviti, memastikan setiap rakyat Malaysia menerima manfaat yang dijanjikan tanpa ada yang tercicir,” ujarnya.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com