Wednesday, 1, October, 2025
Utama Nasional Agong terima menghadap PM, dibentang isu semasa BUDI95, sidang kemuncak ASEAN

Agong terima menghadap PM, dibentang isu semasa BUDI95, sidang kemuncak ASEAN

oleh Ammar Haziq

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan menerima menghadap Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Istana Bukit Tunku.

Menerusi hantaran di laman Facebook rasmi Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, pertemuan itu menyaksikan Seri Paduka Baginda dipersembahkan taklimat berhubung pelbagai isu semasa.

Antara yang turut dibentangkan termasuk pelaksanaan inisiatif BUDI MADANI RON95 (BUDI95) serta persiapan Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 yang dijadualkan berlangsung di ibu negara bulan depan.

Pada Isnin lalu, Perdana Menteri mengumumkan harga petrol RON95 diturunkan kepada RM1.99 seliter berbanding RM2.05 seliter melalui pelaksanaan penyasaran subsidi di bawah BUDI95.

Menurut Kementerian Kewangan, sistem pendaftaran BUDI95 dibuka lebih awal kepada 300,000 anggota tentera dan polis bermula 27 September, diikuti penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) pada 28 September, dan seterusnya 30 September untuk 16 juta rakyat Malaysia berusia 16 tahun ke atas yang memiliki MyKad serta lesen memandu aktif.

Sementara itu, Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 akan berlangsung dari 26 hingga 28 Oktober di Kuala Lumpur. Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 bakal menganjurkan sidang berkenaan dengan tema “Keterangkuman dan Kemampanan”.

Acara antarabangsa besar itu akan menghimpunkan pemimpin dari 10 negara anggota ASEAN serta rakan dialog utama dari seluruh dunia.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com