PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegur segelintir pihak termasuk seorang pendakwah selebriti yang mengkritik pelaksanaan Program Bantuan Subsidi MADANI RON95 (BUDI95) tanpa memahami tujuan sebenar dasar berkenaan.
Menurutnya, sistem penyasaran subsidi itu memberi manfaat kepada majoriti besar rakyat, justeru tidak wajar dituduh sebagai menzalimi golongan tertentu.
“Syukur Alhamdulillah, mana ada sistem sempurna. Apa pun sistemnya, ia memberi manfaat kepada majoriti besar rakyat. Tetapi saya lihat ada seorang ustaz, pendakwah, yang kata ini zalim dan tidak faham rakyat. Dia marah betul.
“Ada kawan hantar kepada saya (rakaman) ustaz ini. Saya dengar, memang semua bagus, tetapi dia kata setiap kali pergi berdakwah, minimum 600 kilometer. Orang bayar, bukan percuma, sebahagian kita bayar, sebahagian orang lain bayar. Dia tidak fikir soal itu. Saya bersimpati,” katanya ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Warga Kementerian Kewangan, di sini, hari ini.
Sebelum ini, tular tangkap layar hantaran didakwa milik seorang pendakwah selebriti yang mempersoalkan pelaksanaan kuota 300 liter subsidi RON95 sebulan bagi setiap individu. Bagaimanapun, hantaran itu dipercayai diturunkan selepas menerima kritikan pelbagai pihak.
Dalam pada itu, Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun menegaskan subsidi BUDI95 hanya ditujukan untuk rakyat Malaysia dan bukan warga asing.
“Tanggungjawab kita adalah memastikan keluarga, masyarakat dan rakyat negara ini mendapat manfaat penuh daripada subsidi. Kenapa kita tak mahu warga asing dapat? Sebab mereka bukan rakyat kita. Mereka juga tidak membayar cukai seperti kita, maka tidak boleh disamakan,” katanya.
Beliau turut menjelaskan masih terdapat kekeliruan dalam kalangan masyarakat mengenai perbezaan antara warga asing yang tinggal dan bekerja di Malaysia dengan pelancong luar negara.
“Ada orang keliru. Warga asing di Malaysia bermaksud mereka yang tinggal dan bekerja di sini, walaupun ada kenderaan berdaftar di negara ini. Manakala pelancong luar yang masuk dengan kenderaan asing, mereka memang kena bayar harga RON97. Itu beza yang orang kena faham,” katanya.
Anwar menambah, mekanisme penyasaran seperti penggunaan kad dan pendaftaran diperlukan bagi mengelakkan kebocoran subsidi.
“Kalau kita bagi kepada semua termasuk warga asing, ia akan menambah beban besar kepada kewangan negara. Sebab itu kita perlu ada mekanisme kawalan,” katanya.
Pada Isnin lalu, kerajaan mengumumkan harga petrol RON95 diturunkan daripada RM2.05 kepada RM1.99 seliter untuk rakyat Malaysia bermula Selasa depan, dengan pelaksanaan secara berperingkat bagi menjamin kestabilan sistem.