DILI: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan keberanian rakyat Timor-Leste dalam menghadapi sejarah hitam penindasan dan kekejaman wajar dijadikan teladan, malah melebihi keberanian sesetengah negara maju yang bersifat pengecut moral.
Beliau berkata, meskipun Timor-Leste merupakan negara muda dan masih berdepan cabaran pembangunan, rakyatnya tetap teguh mempertahankan prinsip moral serta menolak ketidakadilan.
“Ketika ada negara lain yang lebih maju dari segi ekonomi tetapi lemah dari sudut prinsip, Timor-Leste pula tampil berani dan konsisten menyuarakan kebenaran. Keberanian ini perlu dihargai,” katanya ketika menyampaikan Syarahan Presiden bertajuk ‘ASEAN & Peranan Timor-Leste’ di Dili.
Dalam syarahan itu, Anwar turut menerima Penganugerahan Kalung Agung Darjah Timor-Leste, sebagai penghormatan atas sumbangan beliau memperkukuh hubungan dua hala serta menyokong proses kemasukan negara itu sebagai anggota penuh ASEAN.
Menurut Perdana Menteri, status rasmi Timor-Leste sebagai negara ke-11 ASEAN dijangka dimuktamadkan pada Persidangan Kemuncak ASEAN Oktober ini, sekali gus menandakan babak baharu penyertaan rantau itu.
“Apabila ditanya mengapa saya begitu bertegas memperjuangkan keanggotaan penuh Timor-Leste, jawapannya mudah: ia bukan soal sama ada sesebuah negara itu baru merdeka atau masih kurang maju. Ia soal kebersamaan. Timor-Leste sebahagian daripada rantau ini dan pengalaman mereka amat berharga dalam memperkukuh ikatan ASEAN,” katanya.
Dalam masa sama, Anwar menyeru semua negara anggota ASEAN untuk terus mempertahankan kesepaduan dan kepusatan ASEAN, khususnya dalam menghadapi cabaran geopolitik dan persaingan kuasa besar.
Katanya, pengalaman lebih enam dekad membuktikan bahawa sebarang perpecahan akan hanya menghalang usaha bersama ke arah menjadikan Asia Tenggara sebuah rantau yang aman dan makmur.
“Kesepaduan dan kepusatan ASEAN tidak boleh dianggap remeh. Ia mesti dipertahankan dan diperkuat secara berterusan. Jika ASEAN berpecah, kita akan gagal mencapai keamanan dan kemakmuran serantau,” tegas beliau.