Wednesday, 1, October, 2025
Utama Nasional Sabah terima berita baik dalam belanjawan 2026 – PM

Sabah terima berita baik dalam belanjawan 2026 – PM

oleh Ammar Haziq

KOTA KINABALU: Kerajaan akan mengumumkan sesuatu yang baik khusus untuk Sabah dalam pembentangan Belanjawan 2026 pada 10 Oktober ini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurutnya, kerajaan pimpinannya bertekad melaksanakan perkara yang membawa manfaat kepada rakyat, sesuatu yang gagal dilakukan pentadbiran sebelum ini.

“Belanjawan negara, Insya-Allah saya akan umum untuk Malaysia. Untuk Sabah akan ada pengumuman yang baik pada 10 Oktober ini.

“Kita ada kuasa, orang tanya apa beza ada kuasa dengan tiada kuasa. Masa ada kuasa dulu, sibuk cari harta, tengok balak, tengok tanah, projek bagi anak, bagi isteri kaya.

“Bila tiada kuasa, marah sana sini. Tengok mana yang sudah pencen, minta Anwar turun, tapi sekarang bukan Anwar yang turun, harga minyak yang turun,” katanya.

Anwar berkata demikian ketika berucap pada Himpunan Tamu Rapat Umum sempena 27 Tahun Reformasi PKR di Dewan Pisompuruan, Kampung Kobuni, di sini.

Jelasnya, kuasa yang dimiliki kini digunakan sepenuhnya untuk mengangkat martabat rakyat dan negara.

“Maknanya bila kita ada kuasa, masa itulah kita cuba lakukan sebaik mungkin. Jadi isunya, apabila ada kuasa, itulah masa kita raikan sebaik mungkin untuk negara.

“Orang tanya apa impian saya? Saya kata saya nak rakyat berasa ada peluang, sama ada dari bandar atau luar bandar, semuanya merasa mereka ini ada harapan dalam Malaysia ini,” katanya.

Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan menegaskan, walaupun beliau bukan anak Sabah, negeri itu tetap menerima peruntukan pembangunan tertinggi dalam sejarah.

Dalam pada itu, beliau berkata, permintaan Sabah dan Sarawak mengenai penambahan kerusi Parlimen yang dibangkitkan sejak lebih 60 tahun lalu akhirnya berjaya diluluskan di bawah pentadbiran Kerajaan MADANI.

Katanya, langkah itu membuktikan kerajaan serius dalam menunaikan janji serta menghormati Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Selain pembangunan fizikal, Anwar menegaskan kerajaan memberi tumpuan membantu rakyat menangani kos sara hidup melalui pelbagai inisiatif.

“Sebahagian besar rakyat menerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) yang diagihkan setiap bulan. Jumlah keseluruhan STR untuk semua rakyat mencecah RM15 bilion setahun.

“Berapa ramai penjawat awam, guru dan sebagainya kita naik gaji? Tahun ini sahaja tambah RM10 bilion, tahun depan RM18 bilion,” katanya.

Justeru, beliau menegaskan kerajaan tidak sesekali berdiam diri, sebaliknya terus berusaha keras memastikan kesejahteraan rakyat seluruh negara, termasuk di Sabah.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com