KUALA LUMPUR: Kerajaan akan terus memantau sistem pelayan program penyasaran subsidi BUDI MADANI RON95 bagi memastikan kelancaran transaksi menjelang 30 September ini.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, kumpulan penerima pertama daripada kalangan anggota polis dan tentera sudah menerima manfaat berkenaan hari ini, manakala penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) akan menerimanya hari ini.
“Pada Sabtu kalangan polis dan tentera, esok kepada penerima STR lebih 5 juta yang layak. Menjelang 30 September, ia akan disalurkan kepada semua rakyat Malaysia amnya,” katanya.
Fahmi menjelaskan, sistem pelayan mampu memproses 3,000 transaksi seminit untuk Sumbangan Asas Rahmah (SARA). Namun, dengan kerjasama Touch ‘n Go Digital, kapasiti meningkat sehingga 30,000 transaksi seminit.
“Jadi kapasiti agak besar untuk tempoh sehari. Kita akan pantau pada hari ini dan esok, dan jika perlu kita buat pelarasan terutama dari segi ‘bandwidth’ menjelang 30 September,” katanya pada majlis pelancaran Malaysia, JomPACT! di Institut Pendidikan Guru Kampus Bahasa Melayu, Lembah Pantai.
Majlis itu menampilkan perbincangan, bengkel interaktif dan pameran mengenai penyelesaian alternatif menggantikan plastik sekali guna, dengan sokongan Yayasan Hasanah melalui Geran Khas Hasanah serta kerjasama Kementerian Kewangan.
Projek berlandaskan empat tema utama itu menekankan kesan plastik terhadap persekitaran bandar, kaitan pencemaran dengan perubahan iklim dan kesihatan, peralihan kepada gaya hidup lestari serta peranan kepimpinan belia dalam menggerakkan tindakan alam sekitar.
Dalam perkembangan lain, Fahmi berkata Majlis Konsultasi Belanjawan 2026 masih berlangsung dan dijangka memakan masa satu hingga dua minggu sebelum Jemaah Menteri diberi gambaran jelas.